AM

DANA MYSTI TAWAR SEHINGGA RM500,000 UNTUK PRODUK TEMPATAN

11/12/2024 02:29 PM

PUTRAJAYA, 11 Dis (Bernama) -- Dana Mudahcara MySTI (DMM) menawarkan pembiayaan sehingga RM500,000 untuk menampung kos pengeluaran produk, manakala Dana Uji Beli (DUB) di bawah program Inisiatif Penggunaan Barangan dan Perkhidmatan Hasil R&D (penyelidikan dan pembangunan) Tempatan (MySTI) menawarkan had pembiayaan RM100,000 bagi setiap produk.

Berucap pada majlis pelancaran DMM dan DUB di sini hari ini, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Mohammad Yusof Apdal, berkata DMM ditawarkan kepada syarikat pemula dan perusahaan kecil serta sederhana (PKS) tempatan yang mungkin tidak mempunyai akses kepada pembiayaan konvensional.

Beliau berkata DUB pula disasarkan kepada semua kementerian dan agensi kerajaan untuk menguji barangan serta perkhidmatan berlogo MySTI bagi tempoh maksimum enam bulan.

“Dalam tempoh ini, segala spesifikasi barangan dan perkhidmatan MySTI boleh disesuaikan mengikut keperluan sebenar pengguna.

“Apabila sudah sesuai, serasi, dan meyakinkan, mengapa perlu memilih yang lain? Sokonglah barangan teknologi tempatan kita melalui bajet perolehan masing-masing,” katanya.

Mohammad Yusof berkata menerusi DMM, kerajaan menyasarkan sekurang-kurangnya 50 produk MySTI keluaran syarikat pemula dan PKS untuk memasuki pasaran perolehan kerajaan.

“Dana ini (DMM) bertujuan membantu syarikat-syarikat ini untuk mencipta rekod prestasi dalam perolehan kerajaan serta membuka ruang kepada mereka untuk bersaing dengan syarikat yang lebih besar,” katanya.

Beliau berkata MOSTI (Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi) dan MTDC (Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia) selaku perunding teknologi MySTI akan membantu dalam proses rundingan antara kerajaan serta penyedia teknologi.

Menurutnya, pelancaran kedua-dua dana itu merupakan manifestasi kepentingan idea dan daya inovasi anak tempatan agar diterjemahkan untuk manfaat sosioekonomi serta pembangunan peradaban bangsa dan negara.

“Hari ini, kita menyaksikan MOSTI dan MTDC menerajui misi Malaysia untuk mencapai status negara maju pengeluar teknologi menjelang 2030,” katanya.

Beliau turut menzahirkan keyakinan terhadap pengalaman MTDC selama lebih 32 tahun dalam menguruskan dana pengkomersialan, yang mampu memberikan manfaat bukan sahaja dari segi pembiayaan tetapi juga pelbagai perkhidmatan nilai tambah.

Katanya, MTDC telah membuktikan keupayaan dalam memperkasakan syarikat tempatan untuk bersaing di peringkat global melalui sokongan menyeluruh termasuk bimbingan, khidmat nasihat, dan ekosistem inovasi yang mantap.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan