KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) -- Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Dalam Talian 2024 bertujuan meningkatkan dan menggalakkan keselamatan dalam talian di Malaysia.
RUU itu diluluskan melalui undi belah bahagi dengan 77 Ahli Parlimen bersetuju, 55 tidak bersetuju serta 90 tidak hadir.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said ketika menggulung perbahasan RUU itu berkata undang-undang berkenaan ditumpukan kepada syarikat penyedia perkhidmatan yang bakal terlibat dalam proses pelesenan pada Januari tahun depan.
Beliau berkata undang-undang itu adalah satu keperluan dengan mengambil kira kemajuan teknologi telekomunikasi dan persekitaran dalam talian yang lebih mencabar serta berbahaya, memandangkan hampir 80 peratus rakyat Malaysia menggunakan platform media sosial.
"Dengan pengguna berpuluh juta, duit berbilion ringgit, takkan (syarikat penyedia) nak berniaga untung sahaja...mereka masuk wilayah kita, kena ada tanggungjawab," katanya.
Menurut RUU itu, menjadi kewajipan pemberi perkhidmatan aplikasi berlesen dan pemberi perkhidmatan aplikasi kandungan berlesen untuk melaksanakan langkah bagi mengurangkan risiko pengguna yang didedahkan kepada kandungan memudaratkan.
Pemberi perkhidmatan juga perlu mengeluarkan garis panduan kepada pengguna termasuk syarat-syarat penggunaan sebagai panduan semasa menggunakan perkhidmatan tersebut.
Selain itu, RUU itu mengadakan peruntukan bagi kewajipan pemberi perkhidmatan aplikasi berlesen dan pemberi perkhidmatan aplikasi kandungan berlesen menyediakan mekanisme bagi pengguna melaporkan kandungan yang dipercayai memudaratkan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial