KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) -- Perdagangan subwilayah di bawah Pertumbuhan Segi Tiga Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) melonjak kepada US$660 billion pada 2023 daripada US$350.9 billion pada 2020, menurut Kementerian Ekonomi.
Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hanifah Hajar Taib berkata jumlah pelaburan dalam subrantau IMT-GT juga meningkat kepada US$48.1 billion pada 2023 daripada US$26.1 bilion pada 2020.
“Kerjasama antara negara anggota melalui IMT-GT masih giat diteruskan. Mesyuarat terkini peringkat Menteri ke-30 yang dipengerusikan oleh Menteri Ekonomi Rafizi Ramli telah diadakan pada 8 hingga 13 September, 2024 di Johor.
“Antara pencapaian lain IMT-GT pada 2024 adalah pembangunan ekosistem industri halal melalui Program Kerjasama Teknikal Malaysia, pembangunan ekonomi sempada serta dan kewujudan Rubber Cities dalam subrantau IMT-GT,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 peringkat dasar bagi kementerian itu di Dewan Negara hari ini.
Hanifah Hajar berkata selain IMT-GT, kerajaan Malaysia dan kerajaan Indonesia juga sentiasa membincangkan perkara melibatkan kerjasama dua hala dan pelbagai hala berkenaan pembangunan wilayah sempadan negara dalam pelbagai platform termasuk Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA).
Bagi pembangunan kawasan sempadan, beliau berkata kerajaan telah memperuntukkan RM1.2 bilion bagi mempercepat pembangunan infrastruktur asas dan infrastruktur keselamatan di Sabah, Sarawak dan di utara Semenanjung Malaysia.
Ia dilakukan supaya pembangunan sempadan setara dengan pembangunan sempadan di negara-negara jiran, katanya.
“Antara pembangunan dijalankan adalah Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin, pos keselamatan, jalan perhubungan rentas sempadan serta pembangunan bandar sempadan,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut menegaskan bahawa kerajaan tidak merancang untuk mewujudkan zon ekonomi khas bagi sempadan antara Sarawak dengan Brunei dan Kalimantan, Indonesia.
“Tumpuan pada masa ini diberikan kepada pembangunan sempadan, bagaimanapun pertimbangan akan diberikan sekiranya wujud keperluan dan memberi manfaat kepada semua pihak,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial