KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) -- Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pemegang Amanah (Pindaan) 2024 dan RUU Pemegang Amanah (Pemerbadanan) (Pindaan) 2024 sebagai persediaan negara menghadapi dua penilaian antarabangsa oleh Pasukan Petugas Tindakan Kewangan (FATF) serta Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) tahun depan.
Kedua-dua RUU itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas bacaan kali ketiga oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M. Kulasegaran.
Ketika membentangkan RUU Pemegang Amanah (Pindaan) 2024 untuk bacaan kali kedua, Kulasegaran berkata dalam jangka masa panjang, kegagalan mematuhi FATF boleh menjejaskan kestabilan ekonomi negara akibat tekanan ekonomi dan kewangan antarabangsa.
Beliau berkata pindaan terhadap Akta Pemegang Amanah 1949 (Akta 208) itu bertujuan memperkukuh kuasa kawal selia serta memastikan wujud mekanisme mendapatkan maklumat berkaitan pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan menerusi pemegang amanah sebagai langkah pencegahan aktiviti berkenaan.
Kulasegaran berkata di bawah pindaan itu, seksyen baharu 44D dicadangkan bertujuan untuk mengadakan peruntukan bagi kewajipan untuk menyimpan rekod dan dokumen berhubungan dengan pemunyaan benefisial oleh pemegang-pemegang amanah.
Bagi RUU Pemegang Amanah (Pemerbadanan) pula, Kulasegaran berkata pindaan Seksyen 6 Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) 1952 (Akta 258) bagi memperuntukkan bahawa menteri boleh memeriksa atau memberi kuasa kepada mana-mana orang untuk memeriksa pemegang amanah dan tindakan yang perlu diambil selepas pemeriksaan dijalankan.
"Menteri boleh menggantung pemegang amanah yang didapati telah menyalahgunakan harta dan merujuk perkara tersebut kepada agensi penguatkuasaan undang-undang yang berkaitan bagi penyiasatan," katanya.
Kulasegaran berkata pengenalan seksyen baharu 2B pula bertujuan memastikan bahawa rekod tentang pemunya benefisial disimpan dan membantu dalam pendedahan maklumat apabila diperlukan oleh pihak berkuasa kerana pada masa ini, tiada peruntukan mewajibkan penyimpanan rekod berkenaan.
"Langkah ini adalah penting untuk memastikan bahawa dana disalurkan dengan tepat kepada benefisiari yang berhak, sekali gus mengelakkan penyaluran dana kepada kegiatan kumpulan pengganas, jenayah terancang dan pengubahan wang haram," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial