AM

INSENTIF CEMI MAMPU TARIK PENGANJURAN KONSERT, ACARA ANTARABANGSA DI MALAYSIA - TEO

12/12/2024 10:02 PM

KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) -- Pelaksanaan insentif terbaru Concerts and Events In Malaysia (CEMI) bertujuan menarik artis antarabangsa dan penganjuran acara besar ke negara ini, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.

Beliau berkata menerusi Belanjawan 2025, Kementerian Komunikasi memperuntukkan RM10 juta sebagai geran pembidaan untuk menarik lebih banyak konsert dan acara melibatkan artis luar negara sekali gus dapat merancakkan lagi industri hiburan dan memberi impak besar kepada ekonomi negara.

"Saya rasa untuk FIMI (Insentif Filem di Malaysia) banyak yang didedahkan tetapi tentang ini, insentif untuk konsert tak banyak yang didedahkan. Saya rasa (insentif ini) lagi menarik kerana untuk FIMI ia adalah polisi yang sudah ada, jadi bukan perkara baharu.

"Dalam pandangan kementerian, kita nak menjadikan Malaysia satu lokasi popular untuk anjurkan konsert atau acara melibatkan artis luar negara... kita percaya bahawa industri konsert ini ada satu potensi yang sangat tinggi kerana kesan gandaan dalam ekonomi sangat besar," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Malaysia and Women Forum 2024 di sini hari ini. 

Teo berkata tahun lepas sebanyak 280 konsert melibatkan artis luar negara diadakan di Malaysia dan angka itu meningkat kepada 292 konsert tahun ini.

"Untuk dua tahun ini, industri konsert telah menyumbang RM1.47 bilion kepada ekonomi negara," katanya sambil menambah pihaknya telah menerima 35 permohonan artis luar negara untuk mengadakan konsert pada tahun depan dan jumlah itu dijangka terus meningkat. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan