PUTRAJAYA, 13 Dis (Bernama) -- Lebih 200 badan bukan kerajaan dan syarikat telah memohon geran Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (PPSMI) 2025 yang dibuka sejak 2 Dis, kata Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA) P. Prabakaran.
Beliau berkata permohonan masih dibuka dan institusi yang berminat untuk melaksanakan program berimpak tinggi kepada masyarakat India, boleh memohon geran berkenaan sehingga 5 Jan 2025.
"Setiap kali kami berjumpa masyarakat, mereka sentiasa datang ke pejabat MITRA dan kami tunjukkan kepada mereka bagaimana hendak mohon geran. Kami juga cadangkan, projek itu perlu ada keperluan dan bukan sekali minta. Jadi kita kena sasarkan kepada satu kawasan yang ada ramai B40, masyarakat India dan kita kena buat projek di sana.
"Sebab itu kena jumpa dengan MITRA. Kita boleh bantu untuk bagi tahu mana sasaran miskin bandar, mana kemiskinan luar bandar," katanya dan menambah kesemua permohonan geran PPSMI itu akan diproses selepas tarikh akhir Januari depan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) Untuk Kumpulan Fokus Masyarakat India Berpendapatan Rendah di sini hari ini.
Mengenai sesi libat urus berkenaan, Prabakaran berkata ia menghimpunkan kumpulan fokus yang terdiri daripada golongan akademia, ahli profesional dan NGO untuk merangka polisi bagi masyarakat India berpendapatan rendah.
"Ini satu perkara yang sangat penting dan saya ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerana memberi peluang pertama kali dalam sejarah untuk MITRA merangka dasar untuk masyarakat India seterusnya untuk dimasukkan dalam dokumen RMK13.
"Dan lepas merangka polisi ini, kita akan bentang kepada Kementerian Ekonomi dan seterusnya perdana menteri," katanya.
Prabakaran berkata sebelum ini telah diadakan sembilan sesi libat urus melibatkan pelbagai lapisan masyarakat dan termasuk dengan Kementerian Kewangan dan kesemua hasilnya akan dirangkum sebelum dibentangkan.
Selain topik kemiskinan, antara isu yang turut disentuh ketika sesi libat urus termasuk keusahawanan, pembangunan belia, sosioekonomi dan sekolah Tamil.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial