AM

KADAR CAJ BAHARU TEMPAT LETAK KERETA MULAI 1 JAN SELEPAS 29 TAHUN - MBSP

13/12/2024 01:27 PM

BUKIT MERTAJAM, 13 Dis (Bernama) -- Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) memperkenalkan kadar caj baharu bagi bayaran Tempat Letak Kereta (TLK) di kawasan Seberang Perai bermula 1 Jan 2025.

Datuk Bandar MBSP Datuk Baderul Amin Abdul Hamid berkata kadar caj TLK sedia ada telah diguna pakai sejak 1995, iaitu hampir 29 tahun sehingga kini dan sepanjang tempoh tersebut tiada penilaian ke atas kadar caj semasa yang relevan untuk diguna pakai.

"Bagi pelaksanaan kadar caj baharu TLK itu adalah melibatkan perubahan sekali ganda daripada kadar asal iaitu bayaran caj jam daripada RM0.40 kepada RM0.80 sejam, bayaran caj harian RM3 kepada RM6 sehari, manakala caj bulanan daripada RM75 kepada RM150 sebulan.

"Bagi kadar tempat letak kereta langganan tetap iaitu sewaan petak khas tiada perubahan kadar dan masih kekal mengikut kadar sedia ada iaitu sebulan RM200/petak yang masih boleh dinikmati oleh penduduk Seberang Perai khususnya bagi pengendali premis dan syarikat yang menjalankan aktiviti perniagaan," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya juga telah meneliti dan mengkaji trend penggunaan oleh orang awam yang menggunakan kemudahan TLK berbayar, dengan kebanyakkan mereka lebih memilih untuk menggunakan dalam tempoh masa terhad mengikut keperluan urusan kawasan dituju, justeru MBSB mewujudkan kadar baharu melibatkan tempoh penggunaan singkat iaitu kadar caj setengah jam sebanyak RM0.40.

Baderul Amin berkata cadangan kenaikan kadar caj baharu TLK itu melibatkan penilaian kajian pasaran yang telah dilakukan MBSP, meliputi semakan ke atas pihak berkuasa tempatan (PBT) di Malaysia yang menguatkuasakan kadar caj TLK minimum yang masih relevan dengan kadar yang akan dikuatkuasakan MBSP.

Beliau berkata pelaksanaan kadar caj TLK sedia ada merupakan antara kadar caj masih rendah dalam kalangan PBT di negara ini dan kadar caj baharu itu digunakan bagi penyelenggaraan sistem tempat letak kereta di Seberang Perai sekali gus meningkatkan mutu sistem tempat letak kereta.

Baderul Amin menegaskan kadar baharu itu juga bukan untuk memberikan keuntungan kepada MBSP, tetapi untuk menjadikan sistem tempat letak kereta di Seberang Perai lebih efisyen selain memaklumkan hasil kutipan bayaran TLK setakat ini ialah RM9 juta.

MBSP memerlukan kira-kira RM3 juta untuk kerja-kerja menukar bateri baharu peranti pengesan di 22,000 petak parkir Penang Smart Parking (PSP) yang telah tamat tempoh, selain akan menaik taraf baki 2,000 petak parkir dengan menggunakan peranti kamera di beberapa kawasan terpilih, demi menjamin keselamatan pengguna jalan raya.

Sebelum ini, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) juga mengumumkan kadar caj baharu tempat letak kereta bermula Mac 2025 dengan bayaran parkir meningkat daripada RM0.40 kepada RM0.60 untuk 30 minit, RM0.80 kepada RM1.20 untuk sejam dan RM6 kepada RM9 untuk sehari penuh.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan