AM

BANGUNAN LAMA IPD MELAKA TENGAH DITAMBAH NILAI UNTUK DIJADIKAN MUZIUM POLIS MELAKA

14/12/2024 09:35 PM

MELAKA, 14 Dis (Bernama) -- Kerajaan negeri merancang menambah baik nilai bangunan lama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di Banda Hilir yang akan dijadikan Kompleks Muzium Polis Melaka, sekali gus menjadi satu lagi tarikan pelancongan di Melaka.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata ini memandangkan nilai estetika pada bangunan yang dibina sejak 1924, dengan dijadikan pejabat pentadbiran semasa kolonial British yang dikenali sebagai Malacca Volunteer Drill Hall bagi pasukan The Straits Settlement Volunteer Force (SSVF) sehingga 1948 itu, sangat tinggi.

"Banyak nilai sejarah yang ada pada bangunan ini dan ia terkait rapat dengan PDRM Melaka. Jadi kita cuba untuk mendapatkan kerjasama dengan pihak pengurusan Bukit Aman, yang secara prinsipnya bersetuju untuk menamakan bangunan ini sebagai Kompleks Muzium Polis Melaka.

"Sudah tentu prospek bangunan ini (menarik pelancong) sangat tinggi, memandangkan bangunan tersebut telah diiktiraf Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), cuma nanti kita hendak menambah baik kedudukan (struktur) bangunan ini agar ia menjadi muzium yang mencapai standard sepatutnya," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas hadir ke Majlis Penutupan IPD Melaka Tengah dan Program Community Policing IPD Melaka Tengah, sempena program kerajaan negeri bersama PDRM di bangunan lama IPD Melaka Tengah di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.

Ab Rauf berkata pihak Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) juga telah mengadakan perbincangan bersama Muzium PDRM Kuala Lumpur untuk kerjasama bagi penyumbangan artifak dan bahan-bahan pameran, di samping melaksanakan laporan kajian kerosakan serta penyediaan pelan terukur untuk pemuliharaan bangunan tersebut.

Dalam pada itu beliau berkata perpindahan sementara IPD Melaka Tengah ke lokasi baharu di Wisma Amanah di Batu Berendam, adalah satu usaha praktikal dan realistik selepas mengambil kira keselesaan serta kesejahteraan warga PDRM dan orang awam yang berurusan di IPD Tengah.

"Bangunan lama ini tidak lagi sesuai untuk menjalankan operasi pentadbiran dan melalui peruntukan dan kerjasama dari Kementerian Dalam Negeri, kita berjaya mendapat bajet dan diharap bangunan baharu yang akan dibina di Krubong nanti akan memberi keselesesaan kepada semua yang berurusan nanti," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan