AM

Politeknik, Kolej Komuniti Jalin Kerjasama Dengan JPKK Laksana Program Sejati Madani

18/12/2024 09:27 PM

PADANG RENGAS, 18 Dis (Bernama) -- Politeknik dan Kolej Komuniti bekerjasama dengan 21 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) seluruh negara bagi melaksanakan pelbagai projek di bawah Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) membabitkan dana hampir RM2.1 juta.

Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik & Kolej Komuniti (JPPKK) Dr. Riam Chai Mau berkata daripada jumlah berkenaan sebanyak lima projek telah dilaksanakan di Perak sejak Jun lepas.

“Jumlah sebenar permohonan JPKK melibatkan kerjasama kedua-dua pihak di bawah SejaTi MADANI ini adalah sebanyak 55 namun buat masa ini 21 projek telah diluluskan pelaksanaannya.

“Di Perak, lima projek yang telah diluluskan itu adalah di Gerik, Taiping, Pasir Salak, Chenderoh dan Bagan Serai melibatkan projek pertanian dan penternakan,” katanya pada sidang media selepas sesi lawatan Projek Penanaman Cendawan di Kampung Buaia di sini hari ini.

SejaTi MADANI ialah inisiatif baharu Kerajaan Perpaduan bertujuan merancakkan aktiviti ekonomi pada peringkat komuniti bagi meningkatkan pendapatan dengan pemberian dana antara RM50,000 hingga RM100,000 kepada komuniti yang layak.

Pada 17 Dis, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa memaklumkan sebanyak 6,547 daripada 8,923 permohonan yang diteliti dan dipertimbangkan di bawah SejaTi MADANI telah diluluskan membabitkan peruntukan sebanyak RM590 juta setakat 12 Dis. 

Riam berkata peranan dimainkan pihak politeknik dan kolej komuniti terhadap projek yang dilaksanakan sesebuah komuniti itu lebih terarah kepada proses dokumentasi serta pemantauan projek.

“Tugas kami lebih kepada bantuan mengisi permohonan JPKK yang berminat melaksanakan projek. Selain itu, kita juga menempatkan beberapa petugas sebagai pemantau bagi memastikan projek berjalan lancar,” katanya.

Beliau berkata melalui pemantauan itu pihaknya perlu memastikan laporan kewangan serta perkembangan projek dihantar kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan