PETALING JAYA, 27 Feb (Bernama) -- Jenazah bekas Ketua Penyunting Bahasa Inggeris Perkhidmatan Berita Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Karrima Mohd Seth selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 9, Kota Damansara di sini hari ini.
Terdahulu, jenazah Allahyarham Karrima, 78, dibawa ke Masjid At-Taqwa Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kuala Lumpur pada 9 pagi untuk disolatkan.
Antara yang hadir memberi penghormatan terakhir ialah bekas Pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang, ahli keluarga, sanak saudara dan kenalan.
Adik Allahyarham, Mohd Niven ketika ditemui selepas pengebumian berkata Karrima yang juga anak keenam daripada 10 adik-beradik ialah seorang yang sangat bertanggungjawab dan mementingkan pelajaran adik-adiknya.
"Allahyarham baru saja kehilangan suaminya yang meninggal dunia bulan lepas dan dia memang sudah lama alami masalah paru-paru dan jantung," katanya.
Sementara itu, Azman yang juga bekas Ketua Pengarang Bernama berkata Allahyarham yang dikenalinya ialah seorang petugas yang sentiasa menunjukkan prestasi tinggi dalam pekerjaan dan menjadi contoh kepada wartawan-wartawan lain.
"Saya pernah bekerja di bawah Allahyarham dan saya mengingati beliau sebagai seorang yang sangat komited dan teliti dalam menjalankan tugas.
"Seingat saya beliau bersara awal dan selepas itu kami tidak pernah lagi berjumpa," katanya.
Karrima yang menghidap komplikasi pernafasan menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur tengah hari semalam.
Beliau yang berkhidmat di Bernama pada 16 Nov 1970 hingga 16 Mei 1989, pernah memegang pelbagai jawatan penting bermula sebagai wartawan kadet pada 1970, eksekutif berita (1975), eksekutif berita kanan (1986) dan editor meja bahasa Inggeris pada 1988 sebelum menamatkan perkhidmatan setahun kemudian.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial