AM

Jabatan Perikanan Perak Tekad Perangi Populasi Ikan Asing

27/02/2025 02:58 PM

PADANG RENGAS, 27 Feb (Bernama) -- Jabatan Perikanan Perak terus komited memerangi populasi spesies ikan asing yang merupakan ancaman besar kepada ekosistem sungai di negeri ini, kata Pengarahnya Mohd Ghazali Abd Manap.

Beliau berkata spesies berkenaan termasuk ikan bandaraya atau nama saintifiknya Pterygoplichtys spp yang paling banyak ditangkap serta dilupuskan terutama di Sungai Kinta dan Sungai Pinji di daerah Kinta.

“Ikan ini pembesarannya cepat, hanya memerlukan masa enam bulan untuk mencapai tempoh matang dan mampu membiak dengan banyak.

“Selain itu, tabiat ikan ini yang mengorek tebing untuk dijadikan tempat bertelur juga menyebabkan berlaku kejadian tebing rebak di beberapa lokasi perairan umum di negeri ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Jeti Nelayan Darat serta Program Pelepasan Benih Ikan di Kampung Chegar Galah, di sini hari ini.

Mohd Ghazali berkata bagi memastikan populasi ikan itu dihapuskan, beberapa siri pemburuan dan pelupusan akan dilaksanakan secara besar-besaran tahun ini melibatkan kerjasama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Bila buat program seperti ini, ia akan menimbulkan kesedaran dan tanggungjawab kepada orang awam untuk mengetahui mengenai kehadiran ikan ini diperairan umum,” katanya.

Selain itu, beliau berkata sebanyak RM250,000 diperuntukkan bagi pembinaan Jeti Nelayan Darat Kampung Chegar Galah yang telah siap sepenuhnya sekitar Disember lepas.

“Dengan adanya jeti ini, kira-kira 30 nelayan sekitar kawasan ini akan mendapat manfaat dan diharapkan turut memberi impak positif kepada ekonomi tempatan serta meningkatkan kualiti hidup komuniti nelayan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan