KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Menteri Komunikasi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil hari ini melancarkan kios telekesihatan yang memanfaatkan orang ramai termasuk golongan B40 untuk melakukan saringan kesihatan.
Kios itu yang ditempatkan di Pejabat Ahli Parlimen Lembah Pantai akan memberikan perkhidmatan percuma kepada rakyat untuk memeriksa tahap kesihatan antaranya tekanan darah, paras gula, suhu badan serta Indeks Jisim Badan (BMI).
“Saya merasakan ia satu kemudahan yang boleh digunakan masyarakat sekitar terutama golongan B40 ketika mereka datang ke pejabat (Ahli Parlimen Lembah Pantai) untuk memohon bantuan dan sebagainya.
“Sekiranya mereka merasakan ada keperluan untuk berhubung dengan doktor, setidak-tidaknya beberapa maklumat asas telah dapat dikumpulkan, dan ia memudahkan doktor untuk membuat pemeriksaan lanjut,” katanya.
Fahmi berkata demikian selepas melancarkan kios berkenaan bersama Big Pharmacy di Pejabat Ahli Parlimen Lembah Pantai di sini hari ini.
Fahmi berkata beliau juga mencadangkan kerjasama antara Big Pharmacy dengan beberapa pihak termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi meneroka potensi penempatan kios kesihatan itu di luar bandar.
“ … hal ini kerana kita lihat kios seperti ini yang mempunyai pelbagai fungsi, sangat mudah untuk kita bawa ke lokasi terutama di kawasan desa dan luar bandar.
“Mungkin kita boleh bekerjasama dengan pusat-pusat sebaran maklumat ataupun Perkhidmatan Pintar Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di bawah MCMC,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial