KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2025 Penyata Kewangan Agensi Persekutuan Tahun 2023 bagi meneliti segala isu melibatkan ketirisan, ketidakpatuhan kepada peraturan dan syarat serta kelemahan dalam perancangan supaya tidak berulang pada masa depan.
Usul dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahaskan 18 Ahli Parlimen.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir ketika menggulung perbahasan usul itu bagi kementeriannya berkata kaedah penyaluran geran mengurus kepada semua universiti awam adalah berasaskan kepada keperluan emolumen dan siling indikatif anggaran perbelanjaan mengurus tahunan yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan.
Zambry berkata beliau juga telah merujuk kenyataan yang mengatakan terdapat universiti awam mengalami kerugian kepada Ketua Audit Negara Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi.
“Istilah rugi itu saya telah merujuk semula kepada Ketua Audit Negara kerana saya ingin mendapatkan maklumat yang lebih jelas. Apa yang dimaklumkan kepada saya sebenarnya dalam laporan itu tidak menyebut perkataan rugi.
“Saya juga telah membuat kenyataan balas bahawa pada asasnya IPTA (institusi pengajian tinggi awam) bukanlah sebuah agensi perniagaan,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang ketika menggulung usul itu bagi kementerian berkenaan berkata baki geran pembangunan di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang masih tidak dibelanjakan berjumlah RM2.39 bilion adalah komitmen perbelanjaan bagi projek pembangunan di peringkat pelaksanaan.
Beliau berkata ia termasuk geran pembangunan tertunda berjumlah RM715 juta, geran penganjuran pelajaran tertunda (RM1.59 bilion), geran pembiayaan perniagaan tertunda (RM22.2 juta) dan dana lain sebanyak RM64.1 juta.
Rubiah berkata pembayaran akan dilunaskan berdasarkan prestasi pelaksanaan projek berkenaan.
“Geran penganjuran pelajaran tertunda adalah komitmen MARA bagi program penganjuran pelajaran yang akan dilunaskan berdasarkan tempoh pembelajaran pengajian pelajar berkenaan. Maksudnya kelulusan penajaan tak dibayar terus, ia dibayar berdasarkan semester berdasarkan peringkat yang telah ditetapkan,” katanya.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan pula dalam sesi penggulungan itu berkata kerugian yang dicatat oleh dua anak syarikat pelaburan milik Lembaga Tabung Haji (LTH) yang berpangkalan di United Kingdom adalah kerugian tidak realis, kesan penurunan nilai semasa hartanah.
Beliau berkata Tabung Haji masih memegang hartanah tersebut kerana kerugian itu dijangka bersifat sementara dan nilai hartanah di United Kingdom akan berubah mengikut kadar permodalan yang didorong oleh pergerakan kadar faedah dan kadar inflasi.
Terdahulu, Azalina ketika membentangkan usul itu mencadangkan kerajaan negeri mengambil langkah dan mencontohi kerajaan Persekutuan untuk memberi peluang kepada Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) membahaskan LKAN di peringkat DUN selari dengan prinsip ketelusan dan akauntabiliti.
“Usaha murni Kerajaan MADANI ini memberi peluang kepada lebih banyak Ahli Parlimen untuk terlibat dalam memastikan dana kerajaan digunakan dengan berhemat demi kepentingan awam.
“Perdana Menteri menegaskan bahawa semua menteri yang bertanggungjawab, selaras dengan Perintah Menteri-Menteri Kerajaan Persekutuan yang sedang berkuat kuasa, mesti meneliti setiap teguran yang dibangkitkan oleh Ketua Audit Negara dalam LKAN 1/2025, terutamanya isu berulang yang belum ditangani dengan tuntas oleh pihak bertanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata kerajaan telah mengemukakan usul bagi pembentangan LKAN sebanyak empat kali, justeru berpendirian LKAN wajar diteruskan perbahasannya di Dewan Rakyat bagi memastikan isu dibangkitkan mendapat perhatian semua pihak.
Persidangan Dewan Rakyat bersambung Isnin.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial