AM

NEKMAT Catat Untung Lebih RM11 Juta, Fokus Perkasa Komuniti Nelayan

17/07/2025 08:49 PM

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) mencatatkan keuntungan lebih RM11 juta tahun lepas hasil kejayaan pelaksanaan pelbagai projek ekonomi termasuk pembangunan logistik dan hartanah.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata antara projek itu ialah pembukaan stesen minyak NEKMAT di Mentakab, Pahang, yang menyumbang kepada peningkatan keuntungan persatuan itu. 

Beliau berkata NEKMAT turut memainkan peranan penting dalam pengurusan minyak diesel bersubsidi sejak 1987 dengan kuota sebanyak 51 juta liter sebulan yang terus diagihkan kepada nelayan secara efisien.

“Kerajaan amat menghargai peranan NEKMAT dalam membela nasib nelayan dan kami akan terus bekerjasama rapat dengan persatuan ini serta seluruh komuniti nelayan bagi memastikan kebajikan mereka terpelihara selaras dengan usaha menjadikan sektor perikanan lebih mampan,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan NEKMAT ke-40 di sini hari ini.

Sementara itu, Pengerusi NEKMAT Abdul Hamid Bahari berkata nilai urus niaga persatuan itu meningkat kepada RM869 juta dengan keuntungan bersih mencecah RM11.38 juta, sekali gus meningkatkan modal syer kepada RM30.26 juta.

“Ini adalah hasil pengurusan yang cekap dan komitmen seluruh warga kerja NEKMAT dalam melaksanakan pelbagai projek ekonomi bagi kesejahteraan ahli dan komuniti nelayan,” katanya.

Beliau berkata antara projek utama ialah pembekalan minyak diesel bersubsidi, pemasaran ikan dan produk perikanan, pengeluaran ais, input perikanan, penangkapan ikan serta pembangunan logistik dan hartanah.

NEKMAT juga, katanya merancang memperluas aktiviti perniagaan melalui pembinaan stesen minyak dan kilang ais baharu, akuakultur skala besar khususnya ternakan udang serta pelaburan dalam sektor hartanah.

“Usaha ini bertujuan menjadikan NEKMAT sebagai sebuah institusi moden, cekap dan mampan,” katanya.

Dalam aspek kebajikan, Abdul Hamid berkata NEKMAT melalui Yayasan Nelayan Malaysia (YANEM) turut menyediakan skim perlindungan kepada ahli termasuk bantuan pendidikan, program motivasi dan biasiswa kecil.

“Pada tahun lepas sahaja, lebih RM180,000 telah disalurkan bagi tujuan pendidikan dan kebajikan ahli,” katanya.

Pada majlis sama, Mohamad turut menyampaikan sumbangan kepada YANEM serta anugerah kepada pelajar cemerlang NEKMAT.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan