KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- McDonald’s Malaysia terus mengukuhkan komitmennya terhadap tanggungjawab sosial korporat (CSR) apabila meraih dua pengiktirafan pada Anugerah Kelestarian dan CSR Malaysia 2025 sekali gus melakar kemenangan untuk tahun kelapan berturut-turut.
Syarikat itu membawa pulang Corporate Compassion Excellence Award dan Long-Standing Excellence Award buat tahun kedua berturut-turut yang mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai peneraju dalam kebajikan komuniti dan CSR di Malaysia.
“Menerusi Program Komuniti @ McDonald’s yang sudah sekian lama dilaksanakan, McDonald’s Malaysia melaksanakan lebih 10,000 inisiatif kemasyarakatan setiap tahun, melibatkan rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang.
“Usaha itu merangkumi kebajikan kanak-kanak, bantuan pendidikan, bantuan makanan, sumbangan sempena perayaan serta program untuk petugas barisan hadapan sekali gus mencerminkan komitmen jenama ini dalam menyantuni masyarakat dan memperkukuh komuniti,” menurut kenyataan McDonald’s Malaysia hari ini.
Edisi ke-10 anugerah itu berlangsung di sini semalam, bertemakan “Beyond Profits, Making Our World a Better Place”, selaras dengan komitmen jangka panjang McDonald’s Malaysia dalam menyokong komuniti sejak penubuhannya lebih empat dekad lepas.
Majlis penyampaian anugerah itu turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.
Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia Datuk Azmir Jaafar turut berbangga terhadap pencapaian syarikat itu dan menyifatkan pengiktirafan berkenaan sebagai bukti keyakinan teguh McDonald’s bahawa nilai-nilai murni wajar menjadi tunjang kepada operasi syarikat.
Beliau berkata sebagai sebuah entiti tempatan, tanggungjawab syarikat bukan sekadar menyediakan hidangan, tetapi juga memberi impak positif yang bermakna melalui penglibatan komuniti secara berterusan.
“Pendekatan itu selari bertepatan dengan tema tahun ini ‘Beyond Profits, Making Our World a Better Place’.
“Kami akan terus komited dalam usaha penting ini, berdiri bersama-sama rakyat Malaysia untuk rakyat Malaysia,” katanya.
Pengiktirafan yang diterima McDonald’s Malaysia tahun ini menyerlahkan dedikasi syarikat yang tidak berbelah bahagi dalam membawa perubahan positif untuk komuniti, satu komitmen teguh yang diteruskan saban tahun.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial