AM

SWCorp Laksana Inisiatif Kitar Semula Di Kampung Bukit Pulau

19/07/2025 04:27 PM

MELAKA, 19 Julai (Bernama) --Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) memperkenalkan pendekatan kitar semula yang inovatif bagi mewujudkan komuniti lestari menerusi Program Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni MADANI) di Kampung Bukit Pulau, Bukit Baru, di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp Khalid Mohamed berkata antara pelaksanaan program itu melibatkan pembinaan rumah kompos untuk memproses sisa makanan menjadi baja organik menggunakan kaedah Takakura yang memberi peluang kepada penduduk untuk menjana pendapatan.

“Turut dilancarkan ialah platform perniagaan komuniti berasaskan sisa kitar semula, melibatkan pengumpulan bahan seperti minyak masak terpakai, barangan harian boleh dikitar semula, sisa elektronik (e-waste) dan sisa fabrik.

“Sebuah Taman 3R interaktif khas untuk kanak-kanak sebagai ruang pendidikan turut dibina, selain usaha memulihkan kolam ikan terbiar bagi tujuan rekreasi dan potensi ekonomi masa hadapan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Khalid merasmikan program Santuni MADANI yang turut dihadiri Pengarah SWCorp Melaka, Zaki Md Nor.

Khalid berkata program itu mendapat sokongan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menerusi geran UniMADANI serta bimbingan teknikal dalam penghasilan produk kitar semula seperti bekas tanaman, perabot taman, dan hiasan landskap.

Sementara itu, kolaborasi dengan Kolej Komuniti Selandar menghasilkan arca 3R berbentuk bumi sebagai simbol komitmen komuniti terhadap pemeliharaan alam sekitar.

“Inisiatif seperti ini juga membuka laluan kepada belia dan komuniti tempatan untuk bergerak ke hadapan, serta sebagai permulaan kepada pembentukan sebuah ekonomi hijau komuniti yang lestari dan berdaya saing.

“Matlamat kami adalah untuk menjadikan Kampung Bukit Pulau sebagai model kampung mampan dan progresif di Melaka dengan berkongsi kepakaran, membawa peluang pembangunan sosioekonomi serta menyediakan platform perniagaan komuniti berasaskan sisa kitar semula,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan