AM

Program Halaqah Ilmu Perdana Jadi Medan Pencerahan Ilmu Islam - Mohd Na'im

19/07/2025 11:43 PM

PUTRAJAYA, 19 Julai (Bernama) -- Program Halaqah Ilmu Perdana yang dilancarkan hari ini bakal dijalankan secara bersiri dan menjadi medan pencerahan ilmu Islam secara berhikmah, wasatiyah dan segar selari dengan kerangka Malaysia MADANI.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata program itu merupakan sebuah inisiatif baharu di bawah Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan agensi hal ehwal Islam lain.

"Ia (halaqah) diharap menjadi wadah tarbiah yang akan membentuk ummah MADANI yang berpaksikan ilmu dan adab," katanya dalam program Malaysia Bermunajat 2025 di sini malam ini.

Program itu dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama ribuan jemaah.

Mohd Na'im berkata Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan terus komited menerajui agenda dakwah dan tarbiah ummah sebagai teras melahirkan insan MADANI yang seimbang akalnya, bersih jiwanya dan luhur amalnya.

Beliau berkata Majlis Munajat Malaysia merupakan sebahagian daripada usaha memperkasakan syiar Islam, memperkukuh dimensi rohaniah umat dan menyuburkan kesedaran spiritual agar Islam terus mekar dan subur di bumi Malaysia tercinta.

Program Malaysia Bermunajat 2025 adalah sebuah program kerohanian bertujuan menyemarakkan budaya munajat dan penghayatan ilmu sebagai asas penyatuan ummah dan pembinaan masyarakat berteraskan nilai Malaysia MADANI. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan