AM

Grab Malaysia Rai Kejayaan Langgor FC Muncul Juara Piala Rakan Grab

20/07/2025 04:12 PM

KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) -- Grab Malaysia baru-baru ini mengadakan perlawanan akhir peringkat kebangsaan Piala Rakan Grab bersempena dengan Festival Rakan Grab, yang menyaksikan pasukan Langgor FC dari Perak muncul sebagai juara.

Grab Malaysia dalam kenyataan memaklumkan kejohanan bola sepak komuniti itu yang merangkumi 11 bandar berjaya menarik penyertaan lebih 1,200 rakan Grab bersama keluarga mereka.

“Para juara dari setiap negeri termasuk Selangor, Johor, Pahang, Kelantan, Negeri Sembilan, Melaka, Perak, Pulau Pinang, Sarawak dan Sabah telah dibawa ke Kuala Lumpur untuk berentap bagi merebut kejuaraan peringkat kebangsaan. 

“Acara ini bukan sahaja memberikan peluang istimewa kepada rakan Grab untuk bertemu dengan idola bola sepak mereka, tetapi juga memupuk semangat kemasyarakatan dan mengeratkan hubungan sesama peserta melalui minat bersama terhadap sukan ini,” menurut kenyataan itu.

Perlawanan akhir itu merupakan kemuncak kejohanan Piala Rakan Grab yang telah dilancarkan pada 2024 dengan kerjasama Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Dalam pada itu, Festival Rakan Grab yang merupakan sebuah acara komuniti menampilkan pelbagai aktiviti lapangan dan pameran daripada rakan-rakan GrabBenefits.

“Pada awal tahun ini, Grab Malaysia telah memperluas program GrabBenefits daripada tiga kepada lima teras utama yang merangkumi Insurans, Takaful dan Perlindungan Sosial, Tawaran Harian, Akademi, Penyelesaian Kewangan Gig dan Komuniti,” menurut kenyataan itu.

Bagi menjayakan inisiatif itu, Grab Malaysia telah memperuntukkan dana melebihi RM10 juta untuk mewujudkan sistem sokongan yang lebih menyeluruh dan bersepadu buat rakan-pemandu dan rakan-penghantar.

Selain itu, Grab Malaysia turut menganugerahkan Everyday Heroes Awards kepada mereka yang telah menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang tahun lepas, termasuk kategori Best Service Award, Most Ride/Deliveries Award dan Longest Serving Partner.

Pengarah Urusan Grab Malaysia Adelene Foo berkata perlawanan akhir Piala Rakan Grab Peringkat Kebangsaan dan Festival Rakan Grab adalah sebahagian daripada usaha berterusan pihaknya untuk menyokong dan mengiktiraf komuniti rakan Grab.

“Acara seperti ini merupakan cara yang bermakna bagi kami untuk berinteraksi dengan rakan-rakan kami di luar rutin harian, menggalakkan perpaduan, kerja berpasukan dan semangat kesukanan melalui bola sepak. 

“Ia juga mengukuhkan komitmen berterusan kami untuk menyokong rakan-rakan kami dalam aspek yang penting kepada mereka dan keluarga mereka,” katanya.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan