AM

Pendakian Gunung Besar Hantu, Trans Naning Wajib Guna Malim Gunung Mulai 1 Okt - Aminuddin

17/09/2025 11:48 PM

SEREMBAN, 17 Sept (Bernama) -- Semua aktiviti pendakian di Gunung Besar Hantu dan Trans Naning diwajibkan menggunakan khidmat Malim Gunung Perhutanan yang berdaftar di bawah Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan (JPNS) bermula 1 Ok ini.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata langkah itu sejajar dengan usaha meningkatkan keselamatan pendaki selain memastikan pengurusan trek lebih sistematik dan teratur.

“Seramai 77 Malim Gunung Perhutanan telah didaftarkan di bawah JPNS tahun ini. Pendaftaran ini membolehkan jabatan bekerjasama lebih erat dengan mereka, termasuk dalam pengurusan trek pendakian.

“Ia juga menjadikan mereka mata dan telinga jabatan dalam memastikan kawasan ekopelancongan sentiasa terpelihara,” katanya ketika merasmikan Majlis Makan Malam Ekspresi Alam: Peluncuran Publisiti Ekopelancongan Hutan Negeri Sembilan di sini malam ini.

Majlis itu diadakan sempena Persidangan Pengarah-Pengarah Perhutanan Negeri Semenanjung Malaysia (PPNSM) Ke-45 yang berlangsung selama empat hari bermula semalam. Turut hadir, Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Zahari Ibrahim.

Aminuddin berkata produk ekopelancongan berasaskan hutan antara penyumbang hasil negeri apabila merekodkan kehadiran 383,961 pengunjung dengan kutipan RM807,560 pada 2024, manakala sehingga Julai lepas mencatat 278,512 pengunjung (RM608,440).

Beliau yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata kerajaan persekutuan turut meluluskan projek Sky Walk bernilai RM3 juta di Hutan Simpan Pasir Panjang, Port Dickson, yang mula dilaksanakan tahun ini dan dijangka siap pada 2027.

“Produk ekopelancongan berasaskan hutan di Negeri Sembilan turut mendapat pengiktirafan peringkat kebangsaan termasuk Malaysia Book of Records (MBR) bagi kategori Sains dan Teknologi melalui Hutan Simpan Sungai Menyala,” katanya.

Sementara itu, Zahari berkata PPNSM kali ini membentangkan 12 kertas kerja berkaitan isu semasa sektor perhutanan termasuk perlombongan unsur nadir bukan radioaktif (NRREE) dalam Hutan Simpan Kekal (HSK) serta penguatkuasaan dan pelesenan Persatuan Malim Gunung.

Beliau berkata, kawasan berhutan negara kini meliputi 18 juta hektar atau 54.58 peratus daripada keluasan tanah Malaysia, manakala di Semenanjung Malaysia sahaja sebanyak 5.74 juta hektar (44 peratus) direkodkan setakat ini.

“Daripada jumlah itu, seluas 4.85 juta hektar diwartakan sebagai HSK yang diurus secara lestari oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dan jabatan perhutanan negeri,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan