AM

PM Singapura Lawrence Wong Tiba Di Malaysia Untuk Lawatan Khas

20/02/2026 05:31 PM

SEPANG, 20 Feb (Bernama) -- Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong tiba di Malaysia untuk lawatan khas bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau tiba di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bersama delegasinya pada 4.05 petang hari ini dengan penerbangan komersial dan diberi Kawalan Kehormatan Statik oleh Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja diketuai Kapten Zat Aiman Mat Ripin.

Wong disambut oleh Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri Datuk Shahrol Anuwar Sarman dan Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia Vanu Gopala Menon.

Kementerian Luar dalam kenyataan semalam memaklumkan kedua-dua perdana menteri dijangka membincangkan kerjasama dua hala dan isu kepentingan bersama termasuk hasil pemukiman pemimpin pada 4 Dis lepas.

Singapura ialah rakan dagangan kedua terbesar Malaysia dengan jumlah perdagangan mencecah RM402.35 bilion (USD93.97 bilion) pada 2025, meningkat 1.5 peratus berbanding 2024.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan