AM

Fahmi Ucap Takziah Kepada Keluarga Seniwati Maria Menado

30/04/2026 03:26 PM

KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil merakamkan ucapan takziah kepada keluarga seniwati popular era 1950-an, Datuk Seri Maria Menado atau Maria Abdullah, 94, yang meninggal dunia hari ini.

Menerusi hantaran di laman Facebook beliau hari ini, Fahmi menyifatkan Allahyarhamah bukan sahaja seorang pelakon malah sebahagian daripada sejarah dan kenangan industri seni tanah air. 

“Hari ini kita kehilangan satu nama besar dalam dunia perfileman Melayu, Datuk Seri Maria Menado atau Maria Abdullah, seorang seniwati yang pernah mewarnai layar perak sekitar era 1950-an hingga awal 1960-an.

“Lakonannya yang cukup ikonik terutama dalam filem Pontianak pada tahun 1957, bukan sahaja mencipta fenomena, malah membuka jalan kepada genre seram tempatan yang kita kenal hari ini,” katanya.

Fahmi berkata ramai yang membesar dengan lakonan Allahyarhamah dan aura yang dibawanya masih terasa hingga kini.

“Semoga segala jasa dan sumbangannya menjadi amal yang berpanjangan. Sama-sama kita doakan agar rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman,” katanya. 

Allahyarhamah Maria meninggal dunia akibat sakit tua pada 12.25 tengah hari dan dijangka dikebumikan di Tanah perkuburan Bukit Kiara selepas solat Asar hari ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan