EKONOMI

Dasar Perketat Import EV CBU Mampu Pacu Pembangunan Ekosistem Tempatan - PEKEMA

19/05/2026 02:41 PM

Oleh Muhammad Adil Muzaffar Mohd Fisol

CYBERJAYA, 19 Mei (Bernama) -- Garis panduan baharu kerajaan yang mengetatkan pengimportan kenderaan elektrik (EV) yang diimport sepenuhnya (CBU) dilihat mampu mempercepat pembangunan ekosistem EV tempatan, sekali gus memperkukuh peralihan kepada pemasangan tempatan (CKD) dan pemindahan teknologi dalam industri automotif negara.

Presiden Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) Datuk Mohamed Nazari Noordin berkata penetapan syarat minimum nilai kos, insurans dan pengangkutan (CIF) RM200,000 serta kuasa motor minimum 180 kilowatt (kW) bagi EV CBU bermula 1 Julai adalah langkah perlu bagi  memastikan industri automotif tempatan beralih kepada rantaian nilai lebih tinggi.

Beliau berkata langkah itu juga bertujuan melindungi industri tempatan, memandangkan negara berdepan risiko menjadi destinasi lambakan EV luar negara, khususnya dari China yang menawarkan harga lebih rendah susulan lebihan stok dan sokongan insentif domestik.

“Ada model yang sepatutnya dijual lebih mahal tetapi dijual jauh lebih murah kerana lebihan stok. Jadi kerajaan perlu melindungi industri tempatan daripada lambakan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Pada 6 Mei lepas, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) mengumumkan semua pengimportan EV CBU tertakluk kepada had kuasa motor minimum diselaraskan daripada 200kW kepada 180kW dan ke atas serta nilai CIF RM200,000 bermula 1 Julai ini. 

MITI memaklumkan ketetapan itu dibuat susulan tempoh pengecualian khas bagi pengimportan EV di bawah permit import (AP) francais dalam bentuk CBU selama empat tahun telah tamat pada 31 Disember 2025.

Bagaimanapun. syarikat yang masih mempunyai baki stok termasuk stok sedia ada, stok di pelabuhan serta stok dalam transit dibenarkan menjual stok berkenaan mengikut ketetapan dalam tempoh pengecualian khas sehingga habis.

Mengulas mengenai kesan kepada pengguna, Mohamed Nazari berkata pasaran EV tempatan dijangka berpecah kepada dua segmen susulan pelaksanaan dasar tersebut iaitu model premium CBU dan model mampu milik CKD, dengan lebih banyak pilihan dijangka kembali dalam tempoh 12 hingga 24 bulan apabila pemasangan tempatan meningkat.

“Dalam jangka pendek mungkin pilihan akan berkurangan untuk segmen tertentu, tetapi dalam 12 hingga 24 bulan, model lebih mampu milik akan kembali melalui CKD,” katanya.

Beliau berkata stok EV CBU sedia ada di pelabuhan, dalam transit dan dalam inventori pengimport dijangka mencukupi sehingga hujung tahun ini susulan kelonggaran yang diberikan kerajaan.

Mohamed Nazari turut menzahirkan keyakinan bahawa vendor automotif tempatan sudah mempunyai asas kukuh untuk menyokong peralihan kepada EV, namun mengakui Malaysia masih bergantung kepada teknologi luar bagi pembangunan sistem utama.

Katanya, kerjasama dengan pengeluar asing melalui CKD dilihat penting sebagai platform pemindahan teknologi dan pembangunan keupayaan tempatan.

Oleh itu, bagi memastikan dasar itu diperkukuh, Mohamed Nazari menggesa kerajaan mempercepatkan kelulusan berkaitan CKD dan menyediakan tempoh pelaksanaan yang lebih fleksibel kepada industri.

Beliau turut mencadangkan akses pembiayaan lebih mudah kepada vendor tempatan dan perluasan insentif termasuk geran, pengecualian cukai serta sokongan pembangunan modal insan.

“Kita harap kerajaan boleh memberi keutamaan dan laluan pantas permohonan berkaitan CKD kerana pemain industri sedang bergerak ke arah itu,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan