KUALA LUMPUR, 24 Mei (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan terus mempergiat usaha literasi digital, bagi meningkatkan kefahaman pengguna media sosial mengenai etika serta tanggungjawab ketika berkongsi kandungan dalam talian.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata langkah itu penting, bagi memastikan masyarakat lebih peka terhadap implikasi sesuatu perkongsian, khususnya yang melibatkan siasatan pihak berkuasa atau maruah mangsa dan keluarga mereka.
Beliau yang juga jurucakap Kerajaan MADANI berkata pengguna media sosial, perlu memahami bahawa tidak semua kandungan wajar dikongsikan secara terbuka, terutama rakaman yang memaparkan insiden tragis atau berunsur sensitif, kerana ia berpotensi mengganggu siasatan selain menyentuh sensitiviti mangsa dan keluarga mereka.
“Kadangkala dalam sebaran video-video ngeri, ada elemen yang mungkin menyinggung keluarga mangsa dan kita perlu sensitif terhadap perkara itu.
“Di pihak media, biasanya media faham bahawa ada batas-batas tertentu untuk menjaga aib mangsa sebagai contoh. Tetapi bagi orang awam, mungkin mereka tidak terlalu cakna mengenai perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Sambutan Festival Belia @ Hari Belia Negara 2026 Peringkat Wilayah Persekutuan, di sini hari ini.
Fahmi turut meminta orang ramai supaya lebih bertanggungjawab ketika memuat naik atau menyebarkan kandungan di media sosial serta memberi kerjasama kepada pihak berkuasa sekiranya sesuatu kes masih dalam siasatan.
“Kalau ada elemen siasatan, kita tidak mahu sehingga siasatan itu terganggu. Kalau ada elemen aib kepada keluarga mangsa, maka kita mohon terutama apabila keluarga mangsa meminta supaya mereka dihormati, saya harap kita boleh memberikan kerjasama,” katanya.
Semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengingatkan orang ramai, supaya lebih bertanggungjawab sebelum memuat naik rakaman video berkaitan kejadian jenayah atau salah laku menerusi media sosial, kerana tindakan itu boleh menjejaskan siasatan selain memberi implikasi dari sudut perundangan.
Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman Datuk Noor Hisam Nordin berkata terdapat segelintir pihak yang terlalu ghairah mengejar perhatian di media sosial, tanpa memahami kesan terhadap siasatan pihak berkuasa.
Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata Kementerian Komunikasi mengesan peningkatan penggunaan akaun palsu di media sosial untuk menyebarkan kandungan berbaur agama, kaum dan institusi diraja (3R), termasuk membabitkan penyamaran menggunakan identiti raja-raja dan kerabat diraja.
“Setelah dihasilkan kandungan dan mereka sebarkan, akaun-akaun itu ditutup. Jadi ada elemen jenayah di situ, elemen yang baling batu sembunyi tangan dan kita akan teliti respons daripada platform media sosial.
“Ada yang telah dihantar notice of demand daripada pihak MCMC seperti TikTok, ada juga yang telah memberi kerjasama seperti Meta, tetapi kita lihat beberapa platform ini perlu menyatakan langkah yang akan mereka ambil untuk mengurangkan insiden yang bersifat 3R,” katanya.
Mengulas tindakan yang boleh diambil, Fahmi berkata Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ketika ini masih memadai, namun menegaskan bahawa platform media sosial perlu mempertingkatkan usaha membendung penyalahgunaan akaun palsu dan penyebaran kandungan berunsur 3R.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial