JENAYAH & MAHKAMAH

Nur Izzati Humaira Belum Ditemukan, Pencarian Liputi Kawasan 0.43km Persegi Hari Ini

24/05/2026 09:28 PM

KUALA LUMPUR, 24 Mei (Bernama) -- Operasi mencari dan menyelamat remaja perempuan Nur Izzati Humaira Azizul yang dilaporkan hilang semasa melakukan aktiviti pendakian di Bukit Changkat Asa dekat Tanjong Malim semalam, meliputi kawasan seluas 0.436 kilometer (KM) persegi hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata 76 anggota bomba, sukarelawan dan ahli pertubuhan bukan kerajaan terlibat dengan operasi yang bermula bermula pada 9 pagi.

Beliau berkata pihaknya turut menggunakan khidmat dua anjing pengesan bagi membantu mengesan mangsa.

“Mangsa belum ditemukan. Operasi ditangguh pada 6.30 petang dan akan disambung semula 9 pagi esok,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Nur Izzati Humaira, 19, dilaporkan hilang dipercayai tersesat semasa melakukan aktiviti pendakian di bukit berkenaan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan pada 1.26 tengah hari, sebelum sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu dan BBP Tanjong Malim digegaskan ke lokasi kejadian.

Sabarodzi berkata mangsa dipercayai tersesat semasa menuruni bukit bersama lima rakan dan ahli keluarganya.

Mangsa kali terakhir dilihat pada radius 234 meter ketinggian Bukit Changkat Asa.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan