PASARAN > BERITA

NIAGA HADAPAN MSM DITUTUP TINGGI, JEJAKI KENAIKAN MINYAK KACANG SOYA, MINYAK MENTAH

12/06/2024 10:19 PM

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives (BMD) ditutup tinggi hari ini, menjejaki harga minyak kacang soya dan minyak mentah yang lebih kukuh, kata peniaga minyak sawit, David Ng.

“Kami mendapati paras sokongan harga MSM pada RM3,890 satu tan dan paras rintangan pada RM4,050 satu tan,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai, Anilkumar Bagani berkata prestasi pasaran hari ini disokong oleh momentum kenaikan harga dalam pasaran Minyak Kacang Soya Nyahgam Mentah Amerika Selatan, harga tenaga yang kukuh dan tanda-tanda pengurangan kadar pengeluaran minyak sawit di kilang Selatan Semenanjung dalam tempoh 1-10 Jun.

“Harga MSM telah dirangsang oleh pergerakan harga minyak sayuran China pada waktu Asia hari ini.

“Bagaimanapun, prestasi eksport minyak sawit 1-10 Jun yang lebih lemah telah membataskan kenaikan di kontrak niaga hadapan MSM di BMD,” katanya.

Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta Jun 2024 dan Julai 2024 masing-masing meningkat RM31 kepada RM3,962 satu tan, Ogos 2024 naik RM32 kepada RM3,963 satu tan, September 2024 melonjak RM34 kepada RM3,961 satu tan, Oktober 2024 bertambah RM37 kepada RM3,958 satu tan dan November 2024 meningkat RM36 kepada RM3,959 satu tan.

Jumlah dagangan bagaimanapun berkurangan kepada 63,118 lot daripada 72,838 lot pada Selasa manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 216,667 kontrak daripada 215,452 kontrak sebelumnya.

Harga MSM fizikal bagi Jun Selatan naik RM50 kepada RM4,030 satu tan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan