PASARAN > BERITA

BURSA MALAYSIA DITUTUP RENDAH SUSULAN SENTIMEN SERANTAU BERCAMPUR-CAMPUR

14/06/2024 07:10 PM

Oleh NurulJannah Kamaruddin

KUALA LUMPUR, 14 Jun (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri dagangan minggu ini dengan prestasi rendah pada Jumaat, mencerminkan sentimen bercampur-campur dalam bursa serantau apabila kenaikan kukuh berterusan yang dicetuskan oleh tanda-tanda inflasi Amerika Syarikat (AS) yang mereda semakin berkurangan.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 2.85 mata atau 0.18 peratus kepada 1,607.32 daripada 1,610.17 ketika ditutup pada Khamis.

FBM KLCI dibuka 0.83 mata lebih tinggi kepada 1,611 dan bergerak serendah 1,604.48 dan setinggi 1,611.90.

Kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 677 berbanding 561, manakala 469 kaunter tidak berubah, 702 kaunter tidak diniagakan dan 24 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berkurang kepada 5.64 bilion unit bernilai RM3.92 bilion daripada 5.91 bilion unit bernilai RM4.35 bilion pada Khamis.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata FBM KLCI terkekang dalam keadaan tidak banyak berubah memandangkan pelabur kekal berhati-hati atas sebab sedemikian.

Beliau berkata prospek kadar faedah AS sedang dipertimbangkan oleh pelabur selepas Rizab Persekutuan AS (Fed) mengubah pandangannya mengenai pengurangan kadar faedah, walaupun data inflasi lebih rendah berbanding jangkaan.

“Pengerusi Fed Jerome Powell menganggap laporan itu menggalakkan, namun menekankan bahawa pembuat dasar memerlukan data yang lebih konsisten sebelum menurunkan kadar faedah utama mereka daripada kadar tertinggi dalam tempoh dua dekad,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata paras 1,630 terbukti menjadi halangan selepas beberapa percubaan gagal untuk mengekalkannya disebabkan rintangan yang kuat.

Jika FBM KLCI boleh kekal di atas paras 1,600 untuk tempoh yang lebih lama, prospek jangka masa pertengahan untuk indeks penanda aras itu akan menjadi positif, katanya.

Heavyweight Press Metal susut 18 sen kepada RM5.80, MISC turun 12 sen kepada RM8.35 dan Petronas Gas merosot 34 sen kepada RM17.66.

Sementara itu, YTL Power meningkat 12 sen kepada RM5.28 dan YTL Corp naik enam sen kepada RM3.66.

Antara kaunter aktif, MyEG turun sembilan sen kepada RM1.05, JCY kekal pada 89.5 sen, Divfex naik empat sen kepada 20 sen, SNS Network naik 2.5 sen kepada 87 sen manakala Hubline dan Euro Holdings masing-masing menokok setengah sen kepada 6.5 sen dan 10 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 38.74 mata kepada 12,386.45; Indeks FBMT 100 menguncup 39.86 mata kepada 11,947.78; dan Indeks FBM Emas Syariah kurang 82.22 mata kepada 12,727.48.

Indeks FBM 70 merosot 135.75 mata kepada 18,150.81 manakala Indeks FBM ACE menambah 59.70 mata kepada 5,902.48.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 19.09 mata kepada 17,579.13, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.48 mata kepada 200.39, Indeks Tenaga kurang 24.34 mata kepada 987.90 dan Indeks Perladangan turun 19.32 mata kepada 7,008.50.

Jumlah dagangan Pasaran Utama susut kepada 3.18 bilion unit bernilai RM3.36 bilion daripada 3.62 bilion unit bernilai RM3.76 bilion pada Khamis.

Jumlah dagangan waran bertambah kepada 1.07 bilion unit bernilai RM121.96 juta daripada 1.04 bilion unit bernilai RM121.33 juta semalam.

Jumlah dagangan Pasaran ACE naik kepada 1.37 bilion saham bernilai RM440.72 juta daripada 1.25 bilion saham bernilai RM471.26 juta sebelumnya.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 485.32 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (703.11 juta), pembinaan (327.52 juta), teknologi (614.13 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (104.01 juta), hartanah (345.11 juta), perladangan (36.34 juta), REIT (14.65 juta), dana tertutup (31,000), tenaga (159.77 juta), penjagaan kesihatan (94.13 juta), telekomunikasi dan media (63.72 juta), pengangkutan dan logistik (136.15 juta), utiliti (99.90 juta), dan amanah perniagaan (79,200).

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan