PASARAN > BERITA

RINGGIT DITUTUP RENDAH BERBANDING DOLAR US

14/06/2024 07:51 PM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 14 Jun (Bernama) -- Ringgit ditutup rendah berbanding dolar US pada Jumaat apabila Indeks Dolar Amerika Syarikat (DXY) naik semula melebihi 105 mata dan apabila Bank of Japan (BOJ) mengekalkan kadar faedah, kata seorang penganalisis.

Pada 6 petang, ringgit turun kepada  4.7190/7225 berbanding dolar US daripada 4.7070/7110 semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata tumpuan hari ini adalah pada keputusan dasar monetari BOJ dan pasaran nampaknya kecewa dengan kekurangan maklumat oleh bank pusat Jepun itu mengenai rancangan pengetatan kuantitatifnya.

“Pasangan dolar Amerika Syarikat (AS)/yen Jepun meningkat kepada lebih 158 yen sebelum menetap sekitar 157.75 yen. Keputusan terbaharu BOJ pastinya memberi kesan positif kepada dolar AS kerana Rizab Persekutuan AS (Fed) dilihat sebagai satu-satunya bank pusat utama yang tidak tergesa-gesa untuk mengurangkan kadar faedah,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata DXY meningkat 0.29 peratus kepada 105.503 mata dan seterusnya ringgit kekal lemah.

Pada penutup dagangan hari ini, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding beberapa mata wang utama.

Unit tempatan meningkat berbanding euro kepada 5.0418/0455 daripada 5.0840/0884 ketika ditutup pada Khamis, naik berbanding pound Britain kepada 5.9955/9999 daripada 6.0160/0211 bagaimanapun merosot berbanding yen Jepun kepada 3.0046/0072 daripada 2.9945/9972 sebelumnya.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang di negara-negara ASEAN.

Ringgit melonjak berbanding rupiah Indonesia kepada 287.5/287.8 daripada 289.2/289.6 pada penutupan Khamis, menokok berbanding baht Thailand kepada 12.8328/8475 daripada 12.8386/8540 dan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.4857/4886 daripada 3.4887/4920 sebelumnya.  

Bagaimanapun, ia turun berbanding peso Filipina kepada 8.04/8.05 daripada 8.03/8.04 sebelumnya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan