PASARAN > BERITA

BURSA MALAYSIA DIJANGKA DINIAGAKAN DALAM JAJARAN KECIL MINGGU DEPAN

15/06/2024 10:09 AM

Oleh NurulJannah Kamaruddin

KUALA LUMPUR, 15 Jun (Bernama) -- Fasa penstabilan Bursa Malaysia dijangka berterusan pada minggu depan dengan indeks penunjuk pasaran diniagakan dalam jajaran kecil antara paras 1,600 and 1,620 dalam minggu dagangan yang singkat.

Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata berikutan cuti umum pada Isnin sempena sambutan Hari Raya Aidiladha, para pelabur mungkin mengurangkan jumlah dagangan mereka dan menyimpan dana untuk melabur apabila terdapat isyarat jelas daripada pasaran.  

"Memandangkan indeks jatuh di bawah purata Exponential Moving Average (EMA) 20 hari, kami menjangkakan pasaran berada dalam keadaan yang tidak menentu dan kekal dalam fasa penstabilan dengan indeks penunjuk pasaran turun naik sekitar EMA 20 hari," katanya kepada Bernama.

Thong juga berkata paras 1,630 nampaknya menjadi satu halangan apabila pelbagai percubaan untuk melepasinya menemui kegagalan, sambil menambah sekiranya FBM KLCI boleh kekal di atas paras 1,600 bagi tempoh yang lebih lama, prospek jangka sederhana bagi indeks tersebut adalah positif. 

"Namun jika tekanan jualan berterusan, kita mungkin melihat indeks itu jatuh dan menguji semula paras 1,575-1,589 sekali lagi," katanya.

Ketua penyelidikan Apex Securities Bhd Kenneth Leong berkata data runcit dan perindustrian Amerika Syarikat (AS) dan China, inflasi Kesatuan Eropah serta keputusan kadar faedah di Jepun dan United Kingdom akan dipantau rapat minggu depan memandangkan ketiadaan petunjuk baharu di pasaran domestik. 

"Para pelabur menantikan terutamanya pengumuman data runcit dan perindustrian China pada Isnin depan serta data jualan runcit AS pada 18 Jun untuk menyediakan petunjuk berkenaan penggunaan pengguna AS yang mungkin secara tidak langsung memberi impak kepada data inflasi,” katanya.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI susut 10.54 mata kepada 1,607.32 daripada paras 1,617.86 minggu sebelumnya.

Sepanjang minggu yang baru berakhir ini, pasaran ditutup kebanyakannya rendah berikutan pendekatan berhati-hati yang berpunca daripada prospek kadar faedah AS. 

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 29.59 mata kepada 12,386.45, Indeks FBM 70 melonjak 355.93 mata kepada 18,150.81, dan Indeks FBMT 100 menokok 7.32 mata kepada 11,947.78.

Indeks FBM Emas Shariah meningkat 73.95 mata kepada 12,727.48 dan indeks FBM ACE naik 325.16 mata kepada 5,902.48.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 63.14 mata kepada 17,579.13, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 2.74 mata kepada 200.39, Indeks Tenaga meningkat 18.67 mata kepada 987.90 dan Indeks Perladangan menyusut 136.83 mata kepada 7,008.50.

Indeks Penjagaan Kesihatan meningkat sebanyak 16.25 mata kepada 2,207.32 dan Indeks Teknologi naik sebanyak 4.17 mata kepada 79.30.

Bagi minggu ini, jumlah dagangan meningkat kepada 32.08 bilion unit bernilai RM21.97 bilion daripada 19.82 bilion unit bernilai RM15.89 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama melonjak kepada 19.13 bilion saham bernilai RM18.56 daripada 11.84 bilion saham bernilai RM13.87 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 4.54 bilion unit bernilai RM530.34 juta berbanding 3.80 bilion unit bernilai RM471.06 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat dua kali ganda kepada 8.37 bilion saham bernilai RM2.88 bilion daripada 4.17 bilion saham bernilai RM1.54 bilion sebelumnya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan