PASARAN > BERITA

RINGGIT DIJANGKA DALAM JULAT 4.70-4.71 BERBANDING DOLAR AS MINGGU DEPAN

15/06/2024 10:13 AM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 15 Jun (Bernama) -- Ringgit dijangka diniagakan rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dalam lingkungan RM4.70 hingga RM4.71 minggu depan dengan tumpuan terhadap keputusan kadar faedah bank pusat Australia, kata penganalisis.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Pengurus Jualan dan Pembelian Runcit Amerika Syarikat serta Indeks Harga Pengguna Eropah dan data China mengenai Pelaburan Aset Tetap, Jualan Runcit dan Pengeluaran Perindustrian, akan menjadi tumpuan utama minggu depan.

“Keputusan bank pusat Australia Reserve Bank of Australia juga tidak terkecuali dengan ramai pihak menjangkakan kadar dasar kekal tidak berubah pada 4.35 peratus.

“Selain itu, pengukuhan dolar AS dijangka berterusan. Berikutan itu, kami menjangkakan ringgit kekal dalam lingkungan RM4.70 hingga RM4.71 pada minggu depan,” katanya kepada Bernama. 

Bagi asas perbandingan Jumaat hingga Jumaat, ringgit turun kepada 4.7190/7225 berbanding dolar AS daripada paras 4.6900/6940 seminggu lepas.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan mengukuh berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan itu meningkat berbanding pound Britain kepada 5.9955/9999 daripada 6.0009/0060 pada Jumaat, mengukuh berbanding euro kepada 5.0418/0455 daripada 5.1079/1122 seminggu sebelumnya dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.0046/0072 daripada 3.0163/0190.

Selain itu, ringgit diniagakan kebanyakannya mengukuh berbanding mata wang ASEAN.

Unit tempatan itu naik berbanding baht Thailand kepada 12.8328/8475 daripada 12.8465/8627 pada minggu sebelumnya, mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 287.5/287.8 daripada 289.5/289.9 dan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.4857/4886 daripada 3.4872/4905 sebelumnya.

Ringgit bagaimanapun rendah berbanding peso Filipina pada 8.04/8.05 daripada 8.01/8.02 pada Jumaat minggu lepas. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan