PASARAN > BERITA

BURSA MALAYSIA MENINGKAT DIPACU BELIAN SEMASA HARGA MURAH

23/07/2024 10:17 AM

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Selasa, dipacu pembelian semasa harga murah susulan penurunan semalam, yang menjadikan saham lebih menarik kepada pelabur.

Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 7.48 mata kepada 1,629.55 daripada 1,622.07 ketika ditutup Isnin.

Indeks itu dibuka 3.16 mata lebih tinggi kepada 1,625.23.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 353 berbanding 122, manakala 291 kaunter tidak berubah, 1,705 kaunter tidak diniagakan dan 16 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 291.12 juta unit bernilai RM184.96 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata FBM KLCI susut kepada hampir 1,620 semalam apabila aktiviti penjualan memperoleh momentum dalam keadaan penjualan besar-besaran serantau.

“Kami terkejut dengan penjualan itu, mungkin disebabkan ketidaktentuan yang semakin meningkat dalam kancah politik Amerika Syarikat (AS).

“Namun begitu, kami menjangkakan beberapa aktiviti membeli saham berharga murah hari ini dan indeks mungkin berlegar dalam julat 1,625 hingga 1,635,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata Wall Street meningkat semula semalam berikutan penjualan ketara pada sesi sebelumnya, ketika pelabur menilai kesan daripada pengunduran Joe Biden daripada pilihan raya Presiden.

“Sementara itu, tumpuan juga akan diberikan kepada Indeks Perbelanjaan Penggunaan Peribadi AS, yang akan dikeluarkan pada 26 Julai, 2024.

“Susulan itu, Purata Perindustrian Dow Jones meningkat 128 mata, manakala Nasdaq melonjak 281 mata apabila hasil 10 tahun AS menokok lebih tinggi kepada 4.25 peratus,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menambah 6.0 sen kepada RM10.12, CIMB Group naik 5.0 sen kepada RM7.17, IHH Healthcare meningkat 4.0 sen kepada RM6.30 manakala Tenaga Nasional dan Public Bank masing-masing menokok 2.0 sen kepada RM14.46 dan RM4.21.

Antara saham aktif, Well Chip Group melonjak 56.0 sen kepada RM1.71, Pegasus Heights naik setengah sen kepada satu sen, dan Eversendai Corporation Bhd menambah 4.0 sen kepada 61.5 sen.

Sapura Energy dan BWYS Group masing-masing tidak berubah pada 4.0 sen 35 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menambah 70.07 mata kepada 12,617.58, Indeks FBMT 100 meningkat 68.04 mata kepada 12,195.31, dan Indeks FBM Emas Syariah menokok 75.10 mata kepada 12,982.69, dan Indeks FBM 70 melonjak 148.73 mata kepada 18,826.31 manakala Indeks FBM ACE naik 29.65 mata kepada 5,920.57.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 71.51 mata kepada 17,972.33, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.96 mata kepada 195.91, Indeks Tenaga menokok 1.43 mata kepada 963.49 serta Indeks Perladangan menambah 17.78 mata kepada 7,226.16.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan