PASARAN > BERITA

RINGGIT DITUTUP TINGGI BERBANDING DOLAR US MENJELANG PENGUMUMAN DATA IHP AS

23/07/2024 07:37 PM

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (dolar US) hari ini berikutan minat belian baharu menjelang data Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia, kata seorang penganalisis.

Laporan IHP dijadualkan akan dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM) esok.

Pada 6 petang, ringgit naik 85 mata asas kepada 4.6720/6745 berbanding dolar US daripada 4.6805/6835 semasa ditutup pada Isnin.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata data IHP esok akan diteliti oleh komuniti pelabur berdasarkan pelaksanaan rasionalisasi subsidi diesel baru-baru ini.

“Bank Negara Malaysia mungkin mengekalkan dasar monetarinya stabil kerana ia menjangkakan imbangan risiko menaik. Keadaan ini berbeza dengan dasar monetari negara maju kerana sebahagian daripada mereka telah mula mengurangkan kadar faedah penanda aras mereka.

“Justeru, perbezaan kadar faedah yang mengecil dengan ekonomi negara maju akan membantu meningkatkan nilai ringgit tahun ini,” katanya kepada Bernama.

Selain itu, Mohd Afzanizam berkata ringgit kekal berdaya tahan walaupun dolar US semakin kukuh berikutan jangkaan penurunan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS).

Beliau berkata ringgit mendapat sedikit sokongan hari ini terutamanya pada sesi pagi apabila USD-MYR mencecah paras terendah RM4.6708 sebelum ia beransur-ansur merosot kepada RM4.6745 pada sesi petang.

Perkembangan politik terkini di AS nampaknya memberi kesan positif terhadap dolar US kerana Donald Trump dijangka tidak mudah untuk memenangi pada pilihan raya presiden AS November depan, kata Mohd Afzanizam.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Unit tempatan turun berbanding yen Jepun kepada 2.9958/9976 daripada 2.9869/9892 ketika ditutup pada Isnin, naik berbanding pound Britain kepada 6.0320/0352 daripada 6.0514/0553 dan meningkat berbanding euro kepada 5.0771/0798 daripada 5.0971/1003 sebelumnya.

Ringgit melonjak berbanding mata wang ASEAN lain kecuali baht Thailand.

Ia menokok berbanding peso Filipina kepada 7.99/8.00 daripada 8.01/8.03, ringgit mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 288.1/288.4 daripada 288.5/288.8, naik berbanding dolar Singapura kepada 3.4731/3752 daripada 3.4804/4829 ketika ditutup semalam.

Bagaimanapun, ringgit merosot berbanding baht Thailand kepada 12.9004/9116 daripada 12.8975/9118 sebelumnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan