PASARAN > BERITA

RINGGIT DIBUKA TIDAK BERUBAH BERBANDING DOLAR US

24/07/2024 09:09 AM

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) --  Ringgit dibuka tidak berubah berbanding dolar Amerika Syarikat pagi ini dan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama lain menjelang pengumuman mengenai kadar inflasi Malaysia, kata seorang penganalisis.

Pada 8.02 pagi, mata wang tempatan ialah pada 4.6720/6770 berbanding dolar US daripada 4.6720/6745 ketika ditutup pada Selasa.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia akan dipantau dengan teliti kerana kesan kenaikan harga diesel pada 10 Jun akan dicerminkan dalam siri data yang akan datang.

Ia dijangka akan menyokong pengukuhan ringgit juga susulan jangkaan bahawa penurunan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) akan berlaku, katanya.

“Lelongan nota Perbendaharaan dua tahun adalah pada 4.434 peratus berbanding lelongan sebelumnya sebanyak 4.706 peratus, menunjukkan bahawa pasaran bon menjangkakan pelonggaran monetari oleh Rizab Persekutuan AS akan berlaku tahun ini,” kata Mohd Afzanizam kepada Bernama .

Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding kumpulan mata wang utama kecuali yen Jepun.

Mata wang tempatan susut berbanding yen Jepun pada 2.9978/3.001 daripada 2.9958/9976 ketika ditutup pada Selasa, meningkat berbanding pound Britain kepada 6.0269/0333 daripada 6.0320/0352 dan melonjak berbanding euro kepada 5.0691/0745 daripada 5.0771/0798 semalam.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN lain dan tidak berubah berbanding rupiah Indonesia dan peso Filipina.

Unit tempatan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.4713/4753 daripada 3.4731/3752 pada penutup Selasa bagaimanapun ia merosot berbanding baht Thailand kepada 12.9196/9392 daripada 12.9004/9116 semalam.

Ia tidak berubah berbanding rupiah Indonesia pada 288.1/288.5 daripada 288.1/288.4 sebelumnya dan peso Filipina pada 7.99/8.01 daripada 7.99/8.00 ketika ditutup pada Selasa.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan