PASARAN > BERITA

Ringgit Dibuka Hampir Tidak Berubah Berbanding Dolar AS

29/07/2024 09:42 AM

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) -- Ringgit dibuka hampir tidak berubah berbanding dolar AS pada Isnin, tetapi prospek jangka pendek untuk mata wang tempatan itu kekal baik dengan jangkaan penurunan kadar faedah oleh Amerika Syarikat (AS) mendapat momentum, kata ahli ekonomi.

Pada 8 pagi, ringgit berada pada 4.6550/6610 berbanding dolar AS daripada 4.6550/6605 pada Jumaat lepas. 

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata tumpuan akan diberikan kepada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS pada 30-31 Julai ini dan pasaran mengunjurkan penurunan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS.

“Kita akan menyaksikan sokongan seterusnya untuk ringgit hari ini,” katanya.

Mohd Afzanizam berkata pasaran memantau langkah Bank of Japan yang seterusnya berikutan ia memulakan tindakan pengetatan kuantitatif.

“Keputusan dasar monetari mereka adalah pada 31 Julai. Jepun dilihat lambat dari segi mengetatkan monetari,” katanya.

Sementara itu, mata wang tempatan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan naik berbanding euro kepada 5.0516/0581 daripada 5.0530/0590 pada Jumaat lepas dan tinggi berbanding pound kepada 5.9887/9964 daripada 5.9901/9971 minggu lepas, bagaimanapun merosot berbanding yen Jepun kepada 3.0200/0241 daripada 3.0176/0214 sebelum ini.

Pada masa yang sama, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Mata wang tempatan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.4659/4706 daripada 3.4641/4684 pada Jumaat lepas dan rendah berbanding baht Thailand kepada 12.9525/9764 daripada 12.9069/9268 sebelum ini.

Mata wang tempatan mendatar berbanding rupiah Indonesia kepada 285.5/286.0 daripada 285.5/286.0 pada Jumaat lepas dan kekal tidak berubah berbanding peso Filipina kepada 7.97/7.99 sebelum ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan