PASARAN > BERITA

Bursa Malaysia ditutup tinggi akhiri penurunan tiga hari berturut-turut

29/07/2024 07:14 PM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup tinggi hari ini mengakhiri penurunan tiga hari dagangan berturut-turutnya sejajar dengan prestasi positif pasaran serantau apabila para pelabur optimis Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed AS) akan menurunkan kadar faedahnya pada September. 

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 11.68 mata 0.72 peratus kepada 1,624.56 daripada paras penutup 1,612.88 pada Jumaat.

FBM KLCI dibuka tinggi naik 4.28 mata kepada 1,617.16 dan bergerak antara paras 1,616.35 dan 1,625.55 sepanjang hari dagangan.

Di keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 626 berbanding 455, dengan 531 kaunter tidak berubah, 899 tidak diniagakan dan 77 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 4.23 bilion unit bernilai RM2.89 bilion daripada 3.83 bilion unit bernilai RM2.70 bilion pada Jumaat minggu lepas.

Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata pasaran utama serantau menyaksikan aliran positif apabila para pelabur menjangkakan Fed AS akan memberi bayangan kemungkinan penurunan kadar pada September semasa mesyuarat dasarnya pada Rabu. 

"Pada masa sama, mesyuarat pemimpin politik China yang akan diadakan tidak lama lagi mungkin akan memperkenalkan langkah-langkah rangsangan tambahan susulan penurunan kadar yang tidak dijangkakan pada minggu lepas. 

"Di Jepun, Bank of Japan dijadualkan bermesyuarat pada Rabu dengan pasaran menjangkakan kemungkinan kenaikan kadar sebanyak 10 mata asas kepada 0.2 peratus," katanya kepada Bernama. 

Di dalam negara, Thong yakin sentimen pasaran akan bertambah baik dan menjangkakan momentum belian ekuiti tempatan akan berterusan, mendapat rangsangan daripada keyakinan yang muncul semula. 

"Oleh itu, kami menjangkakan FBM KLCI diniagakan dalam jajaran 1,610-1,630 bagi minggu ini," katanya. 

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik 6.0 sen kepada RM10.20, Public Bank meningkat 3.0 sen kepada RM4.24, Tenaga Nasional menokok 8.0 sen kepada RM14.10, CIMB Group menambah 7.0 sen kepada RM7.24 dan IHH Healthcare naik 1.0 sen kepada RM6.27.

Dalam kalangan kaunter cergas, Velocity Capital Partner meningkat 2.0 sen kepada 8.0 sen, Malayan United Industries naik 1.0 sen kepada 10.5 sen, bagaimanapun, Ekovest susut 2.0 sen kepada 44.5 sen, OCR Group dan Velesto Energy turun 1.0 sen masing-masing kepada 8.5 sen dan 22.5 sen. 

Di papan indeks, Indeks FBM Emas melonjak 82.82 mata kepada 12,546.55, Indeks FBMT 100 naik 83.98 mata kepada 12,134.54, Indeks FBM Emas Shariah menokok 86.03 mata kepada 12,827.18 dan Indeks FBM 70 melonjak 117.12 mata kepada 18,647.27.

Sementara itu, Indeks FBM ACE susut sebanyak 15.09 mata kepada 5,779.0.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 115.95 mata kepada 18,087.87, Indeks Perladangan naik 32.24 mata kepada 7,176.43, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 1.01 mata kepada 192.86 dan Indeks Tenaga turun 0.23 mata kepada 965.90.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 2.41 bilion unit bernilai RM2.52 bilion daripada 2.02 bilion unit bernilai RM2.27 bilion pada Jumaat minggu lepas.

Jumlah dagangan waran naik kepada 1.06 bilion unit bernilai RM143.70 juta daripada 1.0 bilion unit bernilai RM107.31 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE berkurangan kepada 754.36 juta saham bernilai RM222.85 juta daripada 803.68 juta saham bernilai RM324.97 juta.  

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 391.44 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (528.06 juta), pembinaan (391.31 juta), teknologi (240.90 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (71.93 juta), hartanah (238.74 juta), perladangan (27.12 juta), REITs (18.43 juta), dana tertutup (22,900), tenaga (219.69 juta), penjagaan kesihatan (90.80 juta), telekomunikasi dan media (28.92 juta), pengangkutan dan logistik (113.24 juta), utiliti (49.90 juta) dan amanah perniagaan (856,100).

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan