PASARAN > BERITA

Niaga Hadapan Msm Ditutup Tinggi

30/07/2024 10:10 PM

Oleh Danni Haizal Danial Donald dan Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi pada Selasa susulan jangkaan eksport yang lebih kukuh pada minggu-minggu akan datang, kata seorang peniaga.

Peniaga minyak sawit David Ng berkata peningkatan harga minyak soya turut meningkatkan sentimen pasaran.

“Kami melihat paras sokongan pada RM3,850 satu tan metrik dan paras rintangan pada RM4,000 satu tan metrik,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai, Anilkumar Bagani berkata penyelidik kargo Intertek Testing Services menganggarkan eksport minyak sawit Malaysia meningkat sebanyak 31.42 peratus kepada 1.24 juta tan metrik bagi tempoh 1-25 Julai, daripada 944,009 tan metrik dalam tempoh yang sama pada Jun.

Menurut laporan, penyelidik kargo Societe Generale de Surveillance (SGS) menganggarkan eksport produk minyak sawit Malaysia bagi tempoh 1-25 Julai berjumlah 1.19 juta tan metrik, meningkat daripada 908,517 tan metrik semasa tempoh 1-25 Jun.

Pada sesi penutup dagangan, kontrak bulan semerta Ogos 2024 menokok RM19 kepada RM4,040 setan metrik, September 2024 bertambah RM11 kepada  RM3,955 setan metrik dan Oktober 2024 melonjak RM7 kepada RM3,915 setan metrik.

Kontrak November 2024 meningkat RM7 kepada RM3,896 setan metrik, Disember 2024 bertambah RM7 kepada RM3,888 setan metrik dan Januari 2025 menokok RM6 kepada RM3,893 setan metrik.

Jumlah dagangan bertambah kepada 74,613 lot daripada 73,579 lot pada Isnin manakala kepentingan terbuka menyusut kepada 220,720 kontrak daripada 223,486 kontrak sebelumnya.

Harga MSM fizikal bagi Ogos Selatan meningkat RM20 kepada RM4,070 setan metrik.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan