PASARAN > BERITA

Bursa Malaysia Dibuka Tinggi Berikutan Prestasi Wall Street Bercampur-campur

31/07/2024 11:32 AM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Rabu selepas prestasi semalaman bercampur-campur di Wall Street.

Saham-saham di Amerika Syarikat (AS) mencatatkan prestasi bercampur-campur walaupun sentimen positif yang semakin meningkat dengan jangkaan bahawa kadar Rizab Persekutuan (Fed) AS akan turun pada September depan apabila pelabur mengurangkan pendedahan mereka terhadap saham teknologi menjelang laporan pendapatan minggu ini.

Pada 9.10 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 3.77 mata kepada 1,615.71 daripada 1,611.94 di akhir dagangan semalam.

Indeks dibuka tinggi 1.39 mata kepada 1,613.33.

Dalam pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 178 berbanding 175 dengan 304 kaunter tidak berubah, 1,792 tidak diniagakan dan 54 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 271.28 juta unit bernilai RM110.21 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) selama dua hari dan sentimen mengenai pilihan raya AS akan datang adalah tumpuan utama dalam jangka terdekat dan ia mungkin mewujudkan keadaan turun naik dalam pasaran.

Firma pembrokeran itu berkata memandangkan pelabur di pasaran AS sedang meraih keuntungan dalam sektor teknologi, ia mungkin merebak kepada saham di pasaran tempatan.

Malacca Securities berkata saham berkaitan Sarawak serta saham berkaitan pembinaan, hartanah, pengguna dan air terpilih masih kekal menjadi pilihannya.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata FBM KLCI meneruskan penurunannya pada penutupan pada Selasa susulan penjualan semasa sesi tengah hari.

“Walaupun kami percaya dagangan kekal hambar menjelang mesyuarat Rizab Persekutuan (Fed) AS lewat hari ini, kami menganggap beberapa aktiviti memburu sahan murah mungkin muncul untuk memberi sokongan kepada bursa tempatan.

“Oleh itu, kami menjangkakan indeks akan berada dalam aliran dalam julat 1,610-1,620 hari ini,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Public Investment Bank Bhd (PIVB) berkata tiada siapa menjangkakan Fed AS akan mengumumkan penurunan kadar faedah pada hari Rabu tetapi jangkaan meluas ialah ia akan berbuat demikian pada mesyuarat seterusnya pada bulan September depan.

“Jangkaan terhadap langkah Fed itu telah menyebabkan hasil jatuh dalam pasaran bon dan ia terus menurun pada Selasa.

“Hasil Perbendaharaan AS 10 tahun jatuh kepada 4.14 peratus daripada 4.17 peratus lewat Isnin dan daripada 4.70 peratus pada April,” katanya.

Menurut PIVB, pasaran saham di tempat lain di seluruh Asia dan Eropah mencatatkan prestasi bercampur-campur sebelum keputusan oleh bank pusat di rantau itu dijangka memberi kesan.

Bagi saham wajaran tinggi, Maybank dan CIMB Group meningkat 4.0 sen masing-masing kepada RM10.12 dan RM7.25, Tenaga Nasional menambah 2.0 sen kepada RM14.12, Public Bank dan IHH Healthcare melonjak1.0 sen masing-masing kepada RM4.19 dan RM6.23.

Dalam kalangan kaunter paling aktif, Velocity Capital Partner naik 0.5 sen kepada lapan sen, Betamek melonjak 4.0 sen kepada 46 sen, Top Glove turun 6.0 sen kepada RM1.03, Asdion susut 0.5 sen kepada 4.5 sen dan Hubline tidak berubah pada 12.5 sen.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas meningkat 6.40 mata kepada 12,475.10, Indeks FBMT 100 menokok menokok 4.23 mata kepada 12,064.27.

Bagaimanapun, Indeks FBM Emas Shariah merosot 10.78 mata kepada 12,770.82, Indeks FBM 70 turun 80.98 mata kepada 18,524.04 dan Indeks FBM ACE susut 7.50 mata kepada 5,660.67.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 32.63 mata kepada 17,988.06 dan Indeks Perladangan menambah 26.49 mata kepada 7,195.54 manakala Indeks Penjagaan Kesihatan turun 33.55 mata kepada 2,052.98 dan Indeks Perladangan berkurangan 0.09 mata kepada 304.66.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan