PASARAN > BERITA

Ringgit ditutup cecah 4.5675, paras tertinggi hampir setahun

01/08/2024 08:11 PM

Oleh Karina Imran

KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Ringgit meneruskan lonjakan ketaranya pada Khamis apabila ditutup pada 4.5675, paras tertinggi dalam tempoh hampir setahun selepas mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) selama sembilan hari berturut-turut.

Pakar menyifatkan perkembangan itu sebagai reaksi pasaran yang positif terhadap kenyataan terbaharu mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS.

Pada 6 petang ini, ringgit melonjak 210 mata asas kepada 4.5675/5710 berbanding dolar AS daripada 4.5885/5925 pada akhir urus niaga Rabu. 

Paras tertinggi ringgit berbanding dolar AS sebelum ini adalah 4.5865/5895 yang dicatat pada 11 Ogos, 2023.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit meneruskan momentum peningkatannya susulan potensi penurunan kadar faedah AS terus ketara selepas mesyuarat FOMC, malam tadi. 

Ini berikutan laporan yang menyatakan FOMC telah mengekalkan Kadar Dana Persekutuan (FFR) pada julat 5.25-5.50 peratus. 

“Mungkin juga pasaran menyedari bahawa Rizab Persekutuan (Fed) akan mengurangkan kadar dasar utama itu kerana perlu mengalihkan tumpuan mengekalkan pertumbuhan susulan inflasi yang diunjur cenderung ke arah 2.0 peratus. 

“Berikutan itu, dua penurunan kadar faedah itu boleh dilaksanakan berdasarkan jangkaan pasaran," katanya kepada BERNAMA. 

Malah, susulan itu, katanya, perbezaan antara FFR dan Kadar Dasar Semalaman (OPR) akan mengecil apabila pihak Fed mula mengurangkan kadar berkenaan. 

“Ini membantu meningkatkan lagi nilai ringgit kerana prospek lebih cerah untuk mata wang Malaysia," kata Mohd Afzanizam.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan pula menjangkakan pengukuhan dolar AS akan mula berkurangan apabila permintaan susut susulan penurunan kadar faedah Rizab Persekutuan. 

"Kami percaya asas pertumbuhan kukuh dan lebihan akaun semasa akan terus menyokong kenaikan nilai ringgit," katanya.

Dalam pada itu, ringgit turut diniagakan tinggi berbanding kumpulan mata wang utama dan ASEAN. 

Ringgit meningkat berbanding pound Britain kepada 5.8272/8317 daripada 5.8875/8926, naik berbanding euro kepada 4.9229/9266 daripada 4.9680/9723 dan mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.0450/0475 daripada 3.0515/0545 semalam.

Berbanding mata wang ASEAN, nilai ringgit mengukuh sedikit berbanding rupiah Indonesia kepada 281.2/281.6 daripada 282.1/282.5 dan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.4124/4153 daripada 3.4273/4306.

Selain itu, ringgit turut mengukuh berbanding peso Filipina kepada 7.83/7.84 daripada 7.86/7.87 dan meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.8239/8384 daripada 12.8717/8880 sebelum ini. 

-- BERNAMA

    

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan