PASARAN > BERITA

Niaga Hadapan Msm Ditutup Rendah

01/08/2024 09:40 PM

Oleh Danni Haizal Danial Donald and Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah berikutan ringgit yang mengukuh terus mempengaruhi harga minyak sawit, kata seorang peniaga.

Peniaga minyak sawit David Ng berkata sentimen pasaran juga dipengaruhi oleh jangkaan pengeluaran yang lebih kukuh dalam beberapa minggu akan datang.

“Kami mengesan paras sokongan pada RM3,800 satu tan dan rintangan pada RM4,000 satu tan,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, penganalisis kanan Fastmarkets Sathia Varqa berkata niaga hadapan MSM turun ke paras terendah dalam tempoh lima minggu, meneruskan kemerosotan semalam lebih RM30 hingga RM70 secara keseluruhan.

Beliau berkata peningkatan berterusan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat sejak beberapa hari kebelakangan ini menjejaskan harga niaga hadapan MSM.

“Mata wang tempatan yang lebih kukuh menjadikan minyak tropika dalam denominasi ringgit lebih mahal kepada pemegang dolar, mengehadkan permintaan eksport, terutamanya selepas menyaksikan prestasi (eksport) Julai yang kukuh,” katanya.

Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta Ogos 2024 turun RM40 kepada RM3,988 satu tan, September 2024 merosot RM22 kepada RM3,926 satu tan, dan Oktober 2024 susut RM38 kepada RM3,870 satu tan.

Kontrak November 2024 susut RM51 kepada RM3,837 satu tan, Disember 2024 turun RM56 kepada RM3,823 satu tan dan Januari 2025 susut RM64 kepada RM3,816 satu tan.

Jumlah dagangan meningkat kepada 123,789 lot daripada 64,423 lot pada Rabu, manakala kepentingan terbuka menurun kepada 218,898 kontrak daripada 221,064 kontrak sebelumnya.

Harga MSM fizikal untuk Selatan Ogos turun sebanyak RM30 kepada RM4,030 satu tan.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan