PASARAN > BERITA

Bursa Malaysia Rendah Pada Tengah Hari, Seiring Pasaran Serantau

02/08/2024 02:07 PM

KUALA LUMPUR, 2 Ogos -- Bursa Malaysia kekal rendah pada tengah hari, seiring dengan aliran menurun dalam pasaran serantau berikutan kebimbangan yang timbul terhadap pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat yang perlahan dan petunjuk dasar monetari yang ketat oleh Bank of Japan (BoJ).

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 12.12 mata, atau 0.75 peratus, kepada 1,612.13 daripada 1,624.25 ketika ditutup semalam.

FBM KLCI dibuka 4.94 mata lebih rendah pada 1,619.31 dan bergerak antara 1,609.65 dan 1,619.31 pada sesi pagi.

Di pasaran lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung  1,162 kepada 127, manakala 271 kaunter tidak berubah, 858 tidak diniagakan, dan 20 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 2.63 bilion unit bernilai RM1.70 bilion.

Dalam satu nota, Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) berkata FBM KLCI mungkin melanjutkan mod penyatuannya dalam jangka pendek berikutan pelabur mengambil kira ketidaktentuan pendapatan dalam musim keputusan Ogos akan datang, ketegangan geopolitik yang meningkat di Timur Tengah, dan kebimbangan mengenai ekonomi AS yang perlahan.

“Bagaimanapun, kemerosotan itu berkemungkinan dikawal oleh Rizab Persekutuan AS yang cenderung menurunkan kadar faedah, pengukuhan ringgit, dan aliran masuk bersih berterusan daripada pelabur asing.

"Melainkan ia mencecah di bawah paras sokongan 1,600-1,606, FBM KLCI mungkin meneruskan trajektori menaiknya ke arah paras 1,638 selepas penyatuan yang sihat," katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut dua sen kepada RM10.24, Public Bank turun satu sen kepada RM4.25, Tenaga Nasional merosot 12 sen kepada RM13.98, CIMB susut lima sen kepada RM7.38, dan IHH Healthcare turun tujuh sen kepada RM6.25.

Bagi saham cergas, WCT Holdings turun 12 sen kepada RM1.15, Sime Darby susut tujuh sen kepada RM1.50, Hubline turun satu sen kepada 12 sen, manakala Ta Win dan Velesto Energy masing-masing tidak berubah pada tiga sen dan 22 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 160.80 mata kepada 12,350.07, Indeks FBMT 100 susut 145.64 mata kepada 11,957.01, Indeks FBM Emas Shariah merosot 206.96 mata kepada 12,520.82, Indeks FBM 70 turun 425.12 kepada 18,065.38, dan Indeks FBM ACE susut 145.78 mata kepada 5,485.84.

Dari segi sektor, Indeks Perladangan turun 14.17 mata kepada 7,177.75, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 4.20 mata kepada 186.81, Indeks Tenaga susut 18.07 mata kepada 941.10, dan Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 74.95 mata kepada 18,205.02.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan