PASARAN > BERITA

Ringgit Diunjur Mengukuh Bawah 4.55 Berbanding Dolar AS Minggu Depan

03/08/2024 10:15 AM

Oleh Karina Imran

KUALA LUMPUR, 3 Ogos (Bernama) -- Ringgit berkemungkinan mencatat pengukuhan ketara dengan mencecah paras di bawah 4.55 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan.

Dalam tinjauan mingguannya terhadap ringgit, Kenanga Investment Bank Bhd berkata prospek optimistik itu didorong oleh gabungan faktor seperti kesan negatif yang terhad terhadap pound Britain kesan daripada tindakan Bank of England menurunkan kadar faedah baru-baru ini selain tanda-tanda kelembapan ekonomi Amerika Syarikat (AS).

“Indeks Pengurus Pembelian (IPP) Pembuatan Institut Pengurusan Bekalan (ISM) AS yang lemah pada 46.8, berbanding jangkaan konsensus 48.8, hanya membuktikan cabaran ekonomi berterusan di negara maju berkenaan.

"Keadaan sedemikian berkemungkinan terus memberi tekanan kepada Indeks Dolar AS (DXY) yang cenderung susut dan sebaliknya berpotensi mengukuhkan ringgit untuk diniagakan di bawah 4.55 berbanding dolar AS,” katanya.

Bank pelaburan itu berkata data penggajian bukan perladangan dan kenaikan kadar pengangguran, akan turut meningkatkan lagi potensi Rizab Persekutuan AS (Fed) menurunkan kadar faedah, sekali gus mengukuhkan naratif penurunan dolar AS.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid pula memberitahu BERNAMA, senario semasa menyaksikan jangkaan penurunan kadar AS terus mendapat momentum. 

“Kesemua ini menunjukkan perbezaan kadar faedah antara Kadar Dana Fed dan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dan akan terus menyokong nilai ringgit pada masa depan, terutama apabila ringgit masih dianggap sebagai nilai rendah," katanya.

Sejajar dengan kenaikan ketara ringgit baru-baru ini, Mohd Afzanizam berkata mungkin sedikit masa diperlukan untuk menembusi paras sokongan semasa kerana tindakan peserta pasaran mengeluarkan sebahagian daripada keuntungan.

Atas alasan itu, beliau menjangkakan ringgit dalam julat 4.48-4.49 pada minggu depan. 

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata ringgit dijangka meneruskan kenaikan minggu depan, berikutan penurunan ketara dalam DXY selepas pengumuman data senarai gaji bukan perladangan.

Data menunjukkan peningkatan kadar pengangguran kepada 4.3 peratus, melebihi jangkaan pakar ekonomi.

Mohd Sedek turut menjangkakan ringgit terus mengukuh ketika dolar AS bergelut mengekalkan nilai semasanya. Seiring tindakan Bank of Japan menaikkan kadar faedah, pelabur mungkin mengalihkan pelaburan mereka ke pasaran negara sedang pesat membangun.

“Ini akan memberi manfaat kepada ringgit apabila pelabur mempelbagaikan portfolio untuk mengurangkan risiko yang dapat membawa kepada peningkatan aliran masuk asing ke Malaysia dan mengukuhkan ringgit.

“Bagaimanapun, pengukuhan secara mendadak mungkin membawa kepada langkah pembetulan jangka pendek. Namun begitu, kami tidak menjangkakan perkara ini akan berlaku dalam masa terdekat kerana ringgit baru memulakan pemulihannya,” katanya.

Bagi minggu yang baru berakhir, reaksi pasaran terhadap isyarat Pengerusi Rizab Persekutuan AS Jerome Powell mengenai penurunan kadar pada September, menyebabkan peningkatan mata wang negara pesat membangun, termasuk ringgit berbanding dolar AS. 

Malah, pada asas perbandingan Jumaat hingga Jumaat, ringgit meningkat kepada 4.4945/4995 berbanding dolar AS daripada 4.6550/6605, seminggu lepas.

Unit tempatan itu juga naik berbanding euro kepada 4.8635/8689 daripada 5.0530/0590, meningkat berbanding pound Britain kepada 5.7264/7328 daripada 5.9901/9971 namun hampir mendatar berbanding yen Jepun kepada 3.0177/0214 daripada 3.0176/0214, seminggu sebelumnya.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan meningkat berbanding mata wang ASEAN.

Ini termasuk naik berbanding peso Filipina kepada 7.73/7.75 berbanding 7.97/7.99 seminggu sebelum ini dan mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 277.4/277.8 daripada 285.5/286.0.

Ringgit juga mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.3750/3793 daripada 3.4641/4684 dan naik berbanding baht Thailand kepada 12.7093/7284 daripada 12.9069/9268 pada Jumaat lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan