PASARAN > BERITA

Bursa Malaysia Dijangka Terus Alami Pergerakan Kecil Minggu Depan

03/08/2024 10:14 AM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 3 Ogos (Bernama) -- Bursa Malaysia dijangka terus mengalami pergerakan kecil dengan kecenderungan menurun minggu depan, berikutan kebimbangan mengenai pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang lebih lembap berbanding jangkaan serta pengangguran lebih tinggi masih ada.

Ketua Penyelidikan Apex Securities Bhd Kenneth Leong berkata pelabur akan meneliti data Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Perkhidmatan ISM di AS Isnin depan.

“Di peringkat domestik, tumpuan utama akan diberikan kepada Indeks Jumlah Perdagangan Borong dan Runcit bagi suku kedua 2024 (8 Ogos), dan Indeks Pengeluaran Perindustrian serta Laporan Statistik Tenaga Buruh bagi Jun 2024 pada 9 Ogos.

“Kami menjangkakan risiko penurunan muncul sekiranya ketiadaan pemangkin baharu, manakala faktor luaran mungkin terus menjejaskan prestasi indeks utama,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata secara teknikal, FBM KLCI telah membentuk satu lagi corak lilin yang lemah apabila FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) terus susut ke arah 1,600 mata pada Jumaat.

“Kami mengekalkan unjuran FBM KLCI dengan cenderung menurun ekoran indeks utama dilihat berada dalam aliran ke arah paras sokongan jangka masa terdekat iaitu 1,580. Rintangan dilihat pada 1,630,” katanya.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng turut senada bahawa Bursa Malaysia mungkin kekal dalam keadaan tidak banyak berubah namun dengan kecenderungan meningkat minggu depan.

Beliau berkata ini memandangkan hala tuju pasaran tempatan bagi jangka masa panjang kekal positif.

Daripada perspektif teknikal, indeks penanda aras terus menurun, ditutup di bawah purata pergerakan eksponen (EMA) 20 hari dan turun naik ketara pasaran dijangka berterusan dengan FBM KLCI berlegar sekitar EMA 20 hari, katanya.

“Walaupun keadaan tidak banyak berubah bagi jangka masa terdekat namun, aliran jangka masa panjang kekal meningkat susulan indeks masih di atas EMA 50 hari.

“Oleh itu, kami menjangkakan indeks penanda aras akan turun naik dalam julat 1,600 hingga 1,630 minggu depan, dengan sokongan serta-merta pada 1,600 diikuti 1,592.” katanya.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI susut 1.83 mata kepada 1,611.05 daripada 1,612.88 minggu lepas.

Bagi minggu ini, Bursa Malaysia mencatatkan dagangan rendah kebanyakannya disebabkan keputusan bank pusat utama, data ekonomi utama dan pengumuman pendapatan syarikat bermodal mega di AS.

Pertumbuhan ekonomi yang lembap di AS, jangkaan kenaikan kadar yang lain di Jepun, dan ketegangan geopolitik yang semakin meningkat di Timur Tengah baru-baru ini turut mempengaruhi sentimen pelabur.

Rizab Persekutuan AS memutuskan kadar faedahnya dikekalkan dan pada masa sama tindakan itu menandakan potensi pelonggaran dasarnya pada September jika inflasi berkurangan.

Bank of Japan pada Rabu pula menaikkan kadar faedah penanda arasnya kepada sekitar 0.25 peratus, paras tertinggi sejak 2008 manakala pasaran menjangkakan satu lagi kenaikan kadar menjelang akhir tahun ini.

Menurut Biro Perangkaan Buruh Jabatan Buruh AS, kadar pengangguran naik kepada 4.3 peratus pada Julai, dan senarai gaji bukan ladang meningkat sebanyak 114,000 pekerjaan berbanding 179,000 yang disemak pada Jun.

Di papan indeks Bursa Malaysia, Indeks FBM Emas berkurang 160.23 mata kepada 12,303.50, Indeks FBMT 100 turun 130.61 mata kepada 11,919.95, Indeks FBM Emas Syariah susut 293.00 mata kepada 12,448.15, Indeks FBM 70 merosot 627.35 mata kepada 17,902.80 dan Indeks FBM ACE menguncup 323.68 mata kepada 5,470.41.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 259.67 mata kepada 18,231.59, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 6.35 mata kepada 185.5, Indeks Tenaga kurang 36.98 mata kepada 929.15 dan Indeks Perladangan berkurang 0.58 mata kepada 7,143.61.

Bagi dagangan yang baru berakhir minggu ini, jumlah dagangan susut kepada 21.51 bilion unit bernilai RM16.31 bilion daripadaa 23.24 bilion unit bernilai RM15.63 bilion minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 12.65 bilion saham bernilai RM14.54 bilion daripada 12.38 bilion saham bernilai RM13.40 bilion.

Jumlah dagangan waran turun kepada 5.16 bilion unit bernilai RM650.71 juta daripada 6.10 bilion unit bernilai RM745.77 juta minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran ACE pula merosot kepada 3.65 bilion saham bernilai RM1.11 bilion daripada 4.75 bilion saham bernilai RM1.48 bilion minggu sebelum ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan