PASARAN > BERITA

Ringgit Terus Catat Kenaikan Selama 11 Hari Berturut-turut Berbanding Dolar AS

05/08/2024 09:48 AM

Oleh Karina Imran and Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) -- Ringgit terus mendapat sokongan yang baik dan mengekalkan momentum meningkatnya selama 11 hari berturut-turut berbanding dolar AS apabila pelabur memindahkan pelaburan mereka ke rantau Asia Pasifik berikutan data pekerjaan Amerika Syarikat (AS) yang lemah pada Jumaat lepas, kata penganalisis.

Pada 8 pagi, ringgit naik kepada 4.4930/5010 berbanding dolar AS daripada 4.4945/4995 pada Jumaat lepas. 

Dilaporkan bahawa kadar pengangguran AS melonjak kepada paras tertinggi dalam tempoh hampir tiga tahun sebanyak 4.3 peratus pada Julai berbanding 4.1 peratus pada Jun.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata susulan data pekerjaan AS yang lemah, hasil bon AS merosot dengan ketara berikutan pelabur mencari jaminan dalam pendapatan tetap.

Sehubungan itu, hasil perbendaharaan untuk tempoh dua tahun mencatatkan penurunan yang ketara, daripada 4.39 peratus kepada 3.91 peratus pada masa ini, merupakan paras terendah sejak Mac 2023 dan menyebabkan indeks dolar (DXY) turun lebih satu peratus dalam satu hari.

“Selain itu, pendekatan yang cenderung untuk melonggarkan dasar monetari daripada Bank of England dan Rizab Persekutuan pada minggu lepas dijangka mengekalkan permintaan yang meningkat terhadap ringgit,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid percaya ringgit berbanding dolar AS dijangka bergerak ke arah paras sokongan semasa pada RM4.40. 

Oleh itu, beliau menjangka ringgit berbanding dolar AS akan berada antara RM4.47 dan RM4.48 hari ini. 

“Pasaran bon AS berada dalam sentimen positif, menunjukkan pemain menjangka penurunan mendadak untuk Kadar Dana Fed,” katanya. 

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama dan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Ia merosot berbanding pound kepada 5.7447/7550 daripada 5.7264/7328 pada Jumaat lepas, susut berbanding euro kepada 4.9019/9106 daripada 4.8635/8689 sebelum ini dan berkurangan berbanding yen Jepun kepada 3.0848/0913 daripada 3.0177/0214 minggu lepas.

Berbanding mata wang ASEAN, mata wang tempatan hampir tidak berubah berbanding rupiah Indonesia kepada 277.3/277.9 daripada 277.4/277.8 dan mendatar berbanding peso Filipina pada 7.73/7.57. 

Ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.3889/3952 daripada 3.3750/3793 dan susut berbanding baht Thailand kepada 12.7158/7503 daripada 12.7093/7284 sebelum ini. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan