PASARAN > BERITA

Ringgit Teruskan Momentum Kukuh, Naik Kepada 4.42 Berbanding Dolar AS

05/08/2024 08:14 PM

Oleh Anas Abu Hassan

KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) -- Ringgit meneruskan momentum kenaikan dari minggu lepas untuk ditutup lebih tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini di tengah-tengah kelemahan Indeks Dolar AS (DXY), kata seorang penganalisis.

Pada 6 petang, ringgit naik kepada 4.4240/4305 berbanding dolar AS daripada 4.4945/4995 ketika ditutup pada Jumaat minggu lalu.

Mata wang tempatan mencapai paras tertinggi harian kepada 4.3945 pada 11.46 pagi dan dibuka pada paras terendah harian 4.4970.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit terus mengukuh berbanding dolar AS dan melepasi paras sokongan segera kepada 4.4005 pada sesi awal urus niaga, tetapi jatuh sedikit pada sesi petang.

Beliau berkata data gaji bukan ladang (NFP) AS yang lebih lemah daripada jangkaan kepada 114,000 pada Julai berbanding jangkaan 175,000 nampaknya telah membuka laluan untuk kejatuhan dolar.

"Dalam hal ini, soalan seterusnya ialah berapa banyak Rizab Persekutuan akan memotong kadar faedah dan ini akan bergantung kepada kesihatan ekonomi AS.

"Peningkatan kadar pengangguran baru-baru ini kepada 4.3 peratus, yang melebihi purata jangka panjang 4.2 peratus, mencadangkan bekalan buruh berlebihan memerlukan pemotongan kadar faedah yang agresif," kata Mohd Afzanizam kepada Bernama.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama dan mengukuh berbanding rakan-rakan di Asean.

Ia naik berbanding pound Britain kepada 5.6379/6462 daripada 5.7264/7328 pada penutup Jumaat dan mengukuh berbanding euro kepada 4.8434/8505 daripada 4.8635/8689, tetapi menurun berbanding yen Jepun kepada 3.1067/1117 daripada 3.0177/0214 sebelumnya.

Jika dibandingkan dengan mata wang di Asean, ringgit melonjak berbanding rupiah Indonesia kepada 273.2/273.7 daripada 277.4/277.8 pada minggu lalu dan meningkat berbanding peso Filipina kepada 7.64/7.66 daripada 7.73/7.57.

Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.3485/3536 daripada 3.3750/3793 dan meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.5528/5791 daripada 12.7093/7284 sebelumnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan