PASARAN > BERITA

Bursa Malaysia Ditutup Tinggi Dipacu Minat Belian, IK Naik 2.46 Peratus

06/08/2024 07:17 PM

Oleh Kisho Kumari Sucedaram

KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Bursa Malaysia kembali ke zon positif selepas ditutup lebih tinggi pada Selasa, didorong oleh aktiviti belian saham-saham yang berharga rendah.

Perkembangan itu berlaku di tengah-tengah pemulihan di kebanyakan pasaran saham serantau selepas diasak prestasi merudum dalam sesi dagangan semalam, kata peniaga.

Pasaran Nikkei 225 Jepun melonjak 3,217.04 mata atau 10.23 peratus kepada 34,675.46 berbanding prestasi menjunam lebih 4,000 mata yang juga prestasi terburuknya sejak 1987.

Indeks Komposit SSE Shanghai menokok 0.23 peratus kepada 2,867.28 manakala Indeks Komposit IDX Indonesia naik 1.31 peratus kepada 7,151.80.

Pada 5 petang, indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melonjak 37.91 mata atau 2.46 peratus ke paras tertinggi intra harian 1,574.39 berbanding 1,536.48 pada penutup semalam.

Indeks petunjuk utama itu dibuka menokok 5.66 mata kepada 1,542.14 namun susut ke paras intra harian terendah 1,529.09 sebelum bergerak dalam trajektori meningkat bagi tempoh berbaki dagangan.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 1,083 berbanding 309 manakala 348 kaunter tidak berubah, 665 tidak didagangkan dan tujuh yang lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan susut kepada 6.39 bilion unit bernilai RM5.31 bilion daripada 9.26 bilion unit bernilai RM7.97 bilion pada Isnin.

Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata saham-saham di pasaran Eropah juga mencatat kerugian pada sesi awal dagangan walaupun tidak mencatat pemulihan yang dramatik.

"Tanda-tanda pemulihan juga jelas di pasaran niaga hadapan Amerika Syarikat (AS) dengan trend positif dalam niaga hadapan Nasdaq, S&P 500 dan Dow Jones," katanya kepada BERNAMA.

Bagi bursa tempatan, Thong berkata aktiviti memburu saham berharga rendah mungkin berterusan, terutama dalam keadaan indeks penanda aras kekal terlebih jual.

Pada masa sama, ini turut didorong oleh asas ekonomi Malaysia yang kekal kukuh dengan pendapatan korporat bertambah baik serta aliran masuk pelaburan langsung asing yang berterusan.

“Dalam jangka pendek, FBM KLCI memaparkan tanda-tanda pemulihan selepas menyaksikan aktviti jualan secara ketara,” katanya.

Thong juga menasihatkan pelabur untuk terus memantau tahap sokongan dan rintangan utama dan memantau penunjuk teknikal untuk memahami arah aliran dengan lebih baik.

"Bagi FBM KLCI, sokongan dikesan pada  paras 1,550 diikuti 1,530 manakala dan rintangan pada 1,600 dan diikuti 1,620," katanya.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Apex Securities Bhd Kenneth Leong berkata pasaran dilihat cuba mendapatkan pemacu pemulihan berikutan aktiviti memburu saham-saham berharga rendah yang berpanjangan.

Di pasaran tempatan, saham wajaran tinggi Maybank naik 20 sen kepada RM10.10, Public Bank untung tujuh sen kepada RM4.20, Tenaga Nasional menokok 48 sen kepada RM13.64, CIMB meraih 19 sen kepada RM7.20 dan IHH Healthcare menambah 14 sen kepada RM6.21.

Bagi saham aktif, Cape EMS rugi 16 sen kepada 40.5 sen, Jiankun susut tiga sen kepada lapan sen manakala MY E.G naik enam sen kepada 88.5 sen, Velest Energy menambah satu sen kepada 20.5 sen dan WCT meraih enam sen kepada RM1.01.

Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Emas meningkat 325.38 mata kepada 11,931.28, Indeks FBMT 100 menambah 324.62 mata kepada 11,596.98, Indeks FBM Emas Syariah meraih 379.35 mata kepada 12,048.22, Indeks FBM ACE menokok 105.78 mata kepada 5,060.86 dan Indeks FBM 70 melonjak 650.26 mata kepada 17,227.15.

Dari segi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 347.31 mata kepada 17,894.06, Indeks Tenaga naik 31.10 mata kepada 883.81, Indeks Perladangan meningkat 186.80 mata kepada 7,075.44, Indeks Teknologi menambah 2.53 mata kepada 67.34, dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meraih 4.73 mata kepada 175.86.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama turun kepada 4.07 bilion unit bernilai RM4.87 bilion daripada 6.16 bilion unit bernilai RM7.38 bilion pada Isnin.

Perolehan waran bagaimanapun susut kepada 1.54 bilion unit bernilai RM196.54 juta daripada 1.59 bilion unit bernilai RM150.87 juta sebelum ini.

Di Pasaran ACE, jumlah dagangan merosot kepada 773.02 juta saham bernilai RM246.59 juta daripada 1.49 bilion saham bernilai RM436.90 juta semalam.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 496.34 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan perindustrian (929.41 juta), pembinaan (479.67 juta), teknologi (496.83 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (149.59 juta), hartanah (707.40 juta), perladangan (35.29 juta), REIT (39.67 juta), dana tertutup (26,900), tenaga (283.20 juta), penjagaan kesihatan (169.40 juta), telekomunikasi dan media (82.90 juta), pengangkutan dan logistik (79.88 juta), utiliti (125.63 juta) dan amanah perniagaan (674,100).

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan