PASARAN > BERITA

Niaga Hadapan MSM Ditutup Rendah

06/08/2024 09:33 PM

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives terus ditutup rendah pada Selasa berikutan kelemahan dalam pasaran minyak soya Chicago, kata peniaga minyak sawit David Ng.

Kebimbangan terhadap peningkatan pengeluaran turut menjejaskan harga, kata Ng.

"Kami mengesan paras sokongan pada RM3,650 dan rintangan pada RM3,890," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ketua penyelidikan komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai Anilkumar Bagani mengaitkan prestasi pasaran itu dengan penjualan mendadak minyak soya di Lembaga Perdagangan Chicago, niaga hadapan biji sesawi Euronext semalaman dan niaga hadapan minyak sayuran China semasa waktu dagangan Asia.

“Bagaimanapun, ringgit Malaysia yang mengukuh sedikit dan pemulihan menaik dalam pasaran tenaga dan pasaran ekuiti Asia menyuntik sedikit keyakinan dalam minyak sawit.

"Niaga hadapan dilihat pulih daripada penjualan besar-besaran, tetapi ia kekal dalam wilayah negatif," katanya. 

Pada penutup dagangan, kontrak Ogos 2024 turun RM101 kepada RM3,829 satu tan, September 2024 susut RM73 kepada RM3,778 satu tan, dan Oktober 2024 merosot RM82 kepada RM3,705 satu tan.

Kontrak November 2024 susut RM80 kepada RM3,671 satu tan, Disember 2024 turun RM76 kepada RM3,662 satu tan, dan Januari 2025 merosot RM68 kepada RM3,668 satu tan.

Jumlah dagangan meningkat kepada 109,702 lot daripada 92,091 lot pada Isnin, manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 222,321 kontrak daripada 220,250 kontrak sebelum ini.

Harga MSM fizikal bagi Selatan Ogos menyusut RM100 kepada RM3,900 satu tan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan