PASARAN > BERITA

Bursa Malaysia Kekalkan Trajektori Meningkat, Indeks Komposit Melonjak

07/08/2024 07:35 PM

Oleh Kisho Kumari Sucedaram

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Bursa Malaysia mengekalkan trajektori meningkatnya hari ini ditutup tinggi bagi dua hari berturut-turut mendapat rangsangan daripada keyakinan pelabur, kata seorang peniaga.

Ini susulan kenyataan daripada Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed AS) yang memberi jaminan untuk berusaha mengelakkan berlakunya kegawatan ekonomi di negara tersebut, katanya. 

Selain itu, Bank of Japan (BoJ) turut mengulangi komitmennya untuk melonggarkan monetari susulan insiden kejatuhan pasaran saham global pada Isnin.  

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 17.48 mata atau 1.11 peratus kepada 1,591.87 berbanding paras penutup 1,574.39 pada Selasa. 

Indeks petunjuk pasaran itu dibuka tinggi naik 1.73 mata kepada 1,576.12 dan bergerak antara paras 1,563.77 dan 1,596.60 sepanjang sesi dagangan hari ini. Indeks FBM KLCI meraih semula 55.39 mata dalam tempoh dua hari lepas.

Di keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 1,061 berbading 270, dengan 376 kaunter tidak berubah, 710 tidak diniagakan dan lapan yang lain digantung. 

Jumlah dagangan menyusut kepada 5.12 bilion unit bernilai RM4.02 bilion daripada 6.39 bilion unit bernilai RM5.31 bilion pada Selasa.

Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata, jaminan oleh Fed dan BoJ ini memberikan kelegaan kepada pasaran serantau yang membayangkan bahawa mereka bersedia untuk bertindak sekiranya keadaan menjadi tidak terkawal.

"Walaupun peniaga mungkin masih belum begitu lega, namun mereka berasa selasa dengan jaminan kedua-dua bank pusat utama itu untuk bersedia mendepani sebarang kemungkinan penurunan tidak dijangka,” katanya kepada Bernama. 

Sementara itu, naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng percaya  asas ekuiti Malaysia akan kekal kukuh dan menjangka trend pembelian akan berterusan.

“Pada paras semasa, FBM KLCI kekal dalam kedudukan terlebih jual.

"Jika indeks petunjuk pasaran boleh melepasi paras rintangan 1,600, peluang aliran terus meningkat adalah tinggi. Kami melihat paras rintangan pada 1,600 diikuti 1,620," katanya.

Ketua penyelidikan pelaburan di UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata pelancaran pusat data di negara ini diyakini dapat menjadi pemacu penting dalam pasaran pada separuh kedua tahun ini dan dijangka terus menarik perhatian walaupun keadaan terlebih jualan ketika ini.

"Ini boleh membawa kepada peningkatan aktiviti membeli saham berharga rendah. Selain pengukuhan ringgit, saham kewangan tertentu juga mengalami fasa aliran menaik," katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi Bursa Malaysia, Maybank dan Public Bank naik empat sen setiap satu masing-masing kepada RM10.14 dan RM4.24, Tenaga Nasional meningkat 30 sen kepada RM13.94, CIMB menokok 13 sen kepada RM7.33 dan IHH Healthcare menambah satu sen kepada RM6.22.

Dalam kalangan saham cergas, Cape EMS meningkat tiga sen kepada 43.5 sen, MY E.G menambah setengah sen kepada 89 sen, Ekovest naik 3.5 sen kepada 41 sen, manakala Jiankun susut satu sen kepada tujuh sen dan Saudee tidak berubah pada dua sen. 

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 170.42 mata kepada 12,101.70, Indeks FBMT 100 menokok 153.82 mata kepada 11,750.81, Indeks FBM Emas Shariah menambah 166.49 mata kepada 12,214.71, Indeks FBM ACE naik 156.61 mata kepada 5,217.47 dan Indeks FBM 70 melonjak 321.21 mata kepada 17,548.37.

Mengikut sektor, Indeks Tenaga naik 27.78 mata kepada 911.59, Indeks Teknologi menokok 1.68 mata kepada 69.02, Indeks Utiliti menambah 53.32 mata kepada 1,758.14, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 166.75 mata kepada 18,060.81 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian melonjak 2.08 mata kepada 177.94.

Bagaimanapun, Indeks  Perladangan susut 25.93 mata kepada 7,049.51.

Jumlah dagangan Pasaran Utama turun kepada 3.44 bilion unit bernilai RM3.66 bilion daripada 4.07 bilion unit bernilai RM4.87 bilion pada Selasa.

Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 958.36 juta bernilai RM124.65 juta daripada 1.54 bilion unit bernilai RM196.54 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE susut kepada 714.17 juta saham bernilai RM226.02 juta daripada 773.02 juta saham bernilai RM246.59 juta sebelumnya.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 368.31 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (1.25 bilion), pembinaan (330.26 juta), teknologi (380.81 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (102.16 juta), hartanah (443.22 juta), perladangan (27.97 juta), REITs (24.01 juta), dana tertutup (87,900), tenaga (155.47 juta), penjagaan kesihatan (109.18 juta), telekomunikasi dan media (50.59 juta), pengangkutan dan logistik (97.81 juta), utiliti (100.57 juta) dan amanah perniagaan (859,400).

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan