PASARAN > BERITA

Niaga Hadapan MSM Ditutup Bercampur-campur

07/08/2024 09:47 PM

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup bercampur-campur pada Rabu susulan kebimbangan mengenai peningkatan pengeluaran dalam persekitaran kenaikan harga minyak mentah, kata peniaga.

Peniaga minyak sawit David Ng berkata faktor berkenaan juga menjadikan sentimen pasaran kekal berhati-hati.

“Berikutan itu, kami melihat paras sokongan harga pada RM3,650 manakala rintangan pada RM3,820 satu tan," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai, Anilkumar Bagani berkata harga niaga hadapan komoditi itu disokong oleh pemulihan pasaran tenaga selain peningkatan niaga hadapan minyak soya di Lembaga Perdagangan Chicago (CBOT) selepas mencecah paras terendah semalam.

Selain itu, penyusutan ringgit turut menyuntik sokongan tambahan kepada niaga hadapan MSM dalam denominasi ringgit, katanya.

“Namun, niaga hadapan minyak sayuran China yang lebih rendah dan kelemahan minyak soya CBOT dan komoditi itu ketika waktu dagangan Asia, telah mengehadkan keuntungan minyak sawit," katanya kepada Bernama.

Sewaktu ditutup, kontrak Ogos 2024 susut RM29 kepada RM3,800 satu tan; September 2024 turun RM15 kepada RM3,763 satu tan manakala Oktober 2024 berkurangan RM8 kepada RM3,697 satu tan.

Kontrak November 2024 naik RM2 kepada RM3,673 satu tan, Disember 2024 menokok RM7 kepada RM3,669 satu tan manakala Januari 2025 meraih RM11 kepada RM3,679 satu tan.

Jumlah dagangan pula berkurangan kepada 90,040 lot daripada 109,702 lot semalam manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 224,872 kontrak daripada 222,321 kontrak, sebelum ini.

Harga MSM fizikal bagi Ogos Selatan berkurangan RM20 kepada RM3,880 satu tan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan