PASARAN > BERITA

Sentimen Global Dorong Peningkatan Bursa Malaysia Pada Tengah Hari

09/08/2024 01:53 PM

KUALA LUMPUR, 9 Ogos (Bernama) -- Sentimen global yang memberangsangkan di tengah-tengah pasaran kerja Amerika Syarikat (AS) yang berdaya tahan, membantu peningkatan Bursa Malaysia ketika mengakhiri dagangan awal pada Jumaat, kata peniaga.

Pada 12.30 tengah hari, indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 8.96 mata kepada 1,599.34 daripada paras 1,590.38 di akhir dagangan semalam.

Indeks penanda aras itu menokok 10.78 mata kepada 1,601.16 dan bergerak dalam julat 1,596.97 hingga 1,604.06 sepanjang sesi itu.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 1,039 berbanding 188 manakala 304 kaunter lain tidak berubah, 911 tidak diniagakan dan 22 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 2.59 bilion unit bernilai RM1.45 bilion.

Data tuntutan pengangguran AS dengan pelarasan bermusim berjumlah 233,000 bagi minggu berakhir 3 Ogos lepas -- berkurangan sebanyak 17,000 dan lebih rendah daripada unjuran Dow Jones pada 240,000, sekali gus turut menepis kebimbangan mengenai kadar pengangguran serta kemelesetan di AS.

Dalam pada itu, Malacca Securities Sdn Bhd menjangkakan minat belian berterusan akan turut melimpah kepada saham-saham tempatan.

“Susulan pemulihan dicatatkan Wall Street, kami percaya sokongan belian ini akan ketara di pasaran tempatan membabitkan sektor pembinaan, hartanah, utiliti dan teknologi.

“Sektor-sektor itu juga penerima manfaat daripada pemangkin pusat data serta kecerdasan buatan," katanya dalam nota penyelidikan hari ini. 

Firma pembrokeran itu juga memilih sektor pengguna dan perkapalan berikutan persekitaran pengukuhan ringgit.

Tidak ketinggalan, sektor kewangan yang dilihat positif dari segi jangkaan hasil dividen lebih baik.

“Pasaran komoditi pula menyaksikan pengukuhan minyak mentah Brent di tengah-tengah ketegangan geopolitik yang berterusan di Timur Tengah selain momentum peningkatan harga emas yang melebihi US$2,420," katanya.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank dan CIMB masing-masing naik dua sen kepada RM10.16 dan RM7.32, Public Bank meraih satu sen kepada RM4.23, MISC menokok enam sen kepada RM8.49 manakala Tenaga Nasional susut empat sen kepada RM13.96.

Bagi saham aktif, Cape EMS naik 2.5 sen kepada 50 sen; Ekovest meraih 1.5 sen kepada 40.5 sen; ATA IMS naik 5.5 sen kepada 44 sen; KGW dan Velesto Energy masing-masing tidak berubah pada 25 sen dan 21.5 sen.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas menambah 135.27 mata kepada 12,205.93; Indeks FBMT 100 meningkat 116.71 mata kepada 11,838.69, Indeks FBM ACE meraih 175.14 mata kepada 5,374.53; Indeks FBM 70 melonjak 361.01 mata kepada 17,800.54 manakala Indeks FBM Emas Syariah meningkat 168.43 mata kepada 12,358.17.

Bagi prestasi sektor, Indeks Tenaga meningkat 14.92 mata kepada 924.84; Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 3.68 mata kepada 181.71; Indeks Teknologi menokok 2.57 mata kepada 71.41; Indeks Utiliti meningkat 27.77 mata kepada 1,774.20; Indeks Perkhidmatan Kewangan meraih 65.55 mata kepada 18,085.16 dan Indeks Perladangan meraih 40.38 mata kepada 7,078.02.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan