PASARAN > BERITA

Ringgit Ditutup Lebih Teguh Berbanding Dolar As, Beberapa Mata Wang Utama

09/08/2024 07:59 PM

Oleh Anas Abu Hassan

KUALA LUMPUR, 9 Ogos (Bernama) -- Ringgit mengakhiri dagangan minggu ini dengan paras lebih kukuh berbanding beberapa mata wang utama dan meningkat 1.11 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat, dipacu sentimen lebih baik susulan prospek yang cerah, kata penganalisis.

Pada pukul 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.4200/4280 berbanding dolar AS daripada 4.4710/4750 ketika ditutup pada Khamis.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid memberitahu Bernama ringgit terus mencatatkan prestasi lebih baik berbanding beberapa mata wang utama, disokong oleh keadaan makroekonomi yang memberangsangkan.

Beliau berkata data Tuntutan Pengangguran yang lebih rendah berbanding jangkaan di AS pada Khamis mendorong pemulihan pasaran daripada kebimbangan awal.

Pada Jumaat, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengumumkan Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) meningkat 5.0 peratus pada Jun 2024 dipacu oleh pertumbuhan konsisten sektor pembuatan.

“IPP yang lebih tinggi daripada jangkaan itu menunjukkan ekonomi Malaysia meraih manfaat daripada permintaan global yang bertambah baik terutama dalam sektor berkaitan teknologi, di samping permintaan domestik yang mampan,” katanya.

Semasa penutupan dagangan hari ini, ringgit diniagakan tinggi berbanding beberapa mata wang utama.

Unit domestik meningkat berbanding euro kepada 4.8253/8340 daripada 4.8859/8903 ketika ditutup pada Khamis, serta lebih tinggi berbanding yen Jepun kepada 3.0019/0075 daripada 3.0590/0619.

Ringgit lebih kukuh berbanding pound British kepada 5.6373/6475 daripada 5.6661/6712 semalam.

Unit tempatan juga didagangkan lebih tinggi berbanding mata wang negara Asean.

Ringgit mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.3381/3444 daripada 3.3746/3779 semalam dan melonjak berbanding rupiah Indonesia kepada 277.5/278.2 daripada 281.2/281.6.

Mata wang tempatan lebih teguh berbanding baht Thailand kepada 12.5234/5514 daripada 12.6382/6545 semalam, dan naik berbanding peso Filipina kepada 7.71/7.73 daripada 7.79/7.82 sebelum ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan