PASARAN > BERITA

CIMB Investment Semak Semula Unjuran KDNK Suku Kedua Malaysia Kepada Enam Peratus

09/08/2024 07:50 PM

KUALA LUMPUR, 9 Ogos (Bernama) -- CIMB Investment Bank Bhd mungkin akan menyemak semula unjurannya untuk pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku kedua 2024 (S2 2024) lebih tinggi kepada enam peratus tahun ke tahun (y-o-y) daripada anggaran awal 5.8 peratus.

Dalam nota penyelidikannya hari ini, bank pelaburan tersebut berkata berdasarkan prestasi kukuh sektor perkhidmatan dan pembuatan, anggaran itu akan menjadi kadar pengembangan terkuat negara sejak suku ketiga 2017, tidak termasuk tempoh pandemik COVID-19.

“Kami percaya ini mungkin menandakan prestasi tertinggi tahun ke tahun, walaupun momentum pertumbuhan dijangka kekal kukuh pada kadar melebihi lima peratus pada separuh kedua 2024.

“Ini disokong oleh aliran pelaburan yang kukuh, penggunaan swasta yang berdaya tahan di tengah-tengah pemindahan tunai dan kenaikan gaji penjawat awam serta pemulihan eksport yang berterusan,” katanya.

Sehubungan itu, CIMB berkata ia akan menilai semula unjuran pertumbuhan KDNK setahun penuh kepada 4.9 peratus selepas data KDNK suku kedua 2024 yang disemak diumumkan pada Jumaat minggu hadapan, memandangkan pemulihan yang kuat pada separuh pertama 2024 dan pemangkin pertumbuhan pada separuh kedua 2024.

Bank pelaburan itu berkata pertumbuhan KDNK bagi sektor perkhidmatan juga bersedia untuk mencatatkan pemulihan yang cemerlang, lebih tinggi daripada anggaran awal sebanyak 5.6 peratus tahun ke tahun.

Katanya peningkatan dalam industri yang berorientasikan pengguna iaitu peruncitan, kenderaan bermotor, perkhidmatan makanan dan minuman, serta penginapan menunjukkan perbelanjaan isi rumah yang berdaya tahan dibantu oleh sambutan Hari Raya.

Selain itu kadar pengangguran yang rendah, inflasi yang sederhana dan peningkatan ketibaan pelancong yang mencapai 2.1 juta orang pada bulan Mac, menghampiri purata 2019 iaitu sebanyak 2.2 juta orang turut membantu merangsang ekonomi.

" Mungkin terdapat limpahan positif ke atas penggunaan isi rumah melalui pengeluaran daripada Akaun Fleksibel Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang berjumlah RM7.8 bilion antara 12 Mei dan 24 Jun, memandangkan deposit individu hanya meningkat RM3 bilion atau 0.3 peratus antara April dan Jun, berbanding dengan purata peningkatan sebanyak 0.4 peratus dalam tempoh yang sama pada dekad yang lalu," tambahnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan